Berita

PKS digalak bekerjasama dengan MIMOS guna teknologi terkini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 5 Mac 2024 3:50 PM MYT

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) digalakkan untuk bekerjasama rapat dengan institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) menggunakan kepakaran mereka dalam penyelidikan dan pembangunan bagi memanfaatkan teknologi terkini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata kerjasama itu bukan sahaja membolehkan PKS meningkatkan keupayaan mereka, malah dapat mempercepatkan sasaran Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi.

“Melalui penggunaan kemajuan teknologi, PKS boleh meningkatkan kedudukan mereka dalam rantaian ekonomi, sekali gus menyumbang lebih ketara kepada kemakmuran negara kita,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan PKS Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) 2024 di sini hari ini.

Chang berkata banyak syarikat multinasional dalam operasi semikonduktor sedang beralih ke pusat pembuatan bersepadu, menggabungkan pembuatan dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D), reka bentuk produk, pemasaran dan pengedaran.

Bagaimanapun, beliau berkata perusahaan tempatan, khususnya PKS, ketinggalan berbanding syarikat besar dalam kemajuan teknologi maka usaha daripada pelbagai pihak amat penting untuk memodenkan PKS, merapatkan jurang dengan entiti yang lebih besar untuk memacu industri itu ke hadapan.

“PKS membentuk tulang belakang ekonomi kita, terdiri daripada sebahagian besar perniagaan merentasi pelbagai sektor.

“Mereka tangkas, boleh menyesuaikan diri dan berpotensi untuk berinovasi dan mengganggu industri. PKS Elektrik dan Elektronik (E&E) mempunyai potensi kukuh untuk menyumbang dengan ketara kepada eksport dan guna tenaga negara dalam sektor pembuatan,” katanya.

Justeru, Chang berkata MIMOS memainkan peranan sebagai pusat R&D untuk memacu keupayaan baharu dalam sektor huluan industri semikonduktor negara sambil terus memajukan keupayaan dalam sektor hiliran, selaras dengan Pelan Hala Tuju E&E, Pembangunan Teknologi 2021-2030.

Syarikat yang berminat untuk meneroka peluang penyelidikan gunaan bagi meningkatkan produktiviti korporat boleh bekerjasama dengan MIMOS dalam beberapa bidang utama seperti keselamatan maklumat, kecerdasan buatan, pengkomputeran lanjutan dan fotonik, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas