Berita

PKRCS khas: Kesukaran jadi kelegaan warga B40

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan(KWP) mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) khas secara percuma di empat hotel sekitar Kuala Lumpur bermula 26 Julai lalu
- Diterbit 31 Julai 2021 1:00 AM MYT

BEKAS pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di rumah menyambut baik pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) khas bagi warga projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL).

Muhammad Ihsan Radzuan, 23,

Menurut Muhammad Ihsan Radzuan, 23, usaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) itu bukan hanya mengurangkan kesusahan yang dialami warga B40 dan miskin bandar malah membantu mengurangkan peningkatan kes dan jangkitan dalam kalangan kontak rapat.

“PKRCS khas adalah tindakan awal untuk mengasingkan pesakit positif yang dikuarantin daripada menjadi kontak rapat kepada ahli keluarga.

“Usaha ini juga sangat baik kerana pesakit tidak perlu bimbang soal bayaran berikutan ia ditawarkan secara percuma malah mereka juga dapat mengurangkan masalah ketidakselesaan untuk menjalani kuarantin kendiri,”jelasnya yang menyokong insiatif PKRCS.

Berkongsi pengalaman kuarantin di rumah, ujarnya, keadaan persekitaran terhad itu menyukarkan kuarantin dilakukan dengan sebaiknya terutama kediaman yang hanya mempunyai tiga bilik dan didiami lebih daripada lima orang.

“Agak sukar bagi lima ahli keluarga saya untuk tinggal bersama dengan keadaan bilik yang terhad, pergerakan juga terbatas dan tidak selesa untuk menjalani kuarantin kerana kami perlu mengamalkan penjarakan diri, memakai sarung tangan serta pelitup muka selain perlu sanitasi rumah setiap hari terutama bilik air,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kekangan itu menyebabkan ahli keluarganya juga dijangkiti wabak secara berperingkat.

Muhammad Fathi Ahmad Nazeri, 37

Sementara itu, Muhammad Fathi  Ahmad Nazeri, 37, berkata, keadaan mungkin berbeza jika pesakit tinggal di rumah besar yang mempunyai dua bilik air kerana pengasingan ruang boleh dilakukan.

“Tiada masalah jika kita tinggal di rumah yang besar tapi ia sukar buat keluarga yang menetap di rumah kecil dengan keadaan tidak selesa. Bila jadi seperti ini, individu yang negatif boleh bertukar menjadi positif kerana kontak rapat.

“Melalui pelaksanaan PKRCS ini, ia bukan sahaja mampu mengurangkan lebih ramai ahli keluarga dijangkiti tanpa penjagaan yang sebaiknya tetapi memberi kelegaan kepada golongan B40 yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan inisiatif ini,” katanya. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas