Berita

PKRCS khas: Inisiatif terbaik pantau, kekang penularan wabak

|
- Diterbit 31 Julai 2021 1:00 AM MYT

PUSAT Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) khas yang bermula 26 Julai lalu membantu dalam memantau keadaan pesakit kategori satu dan dua dari kumpulan B40.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, mewujudkan PKRCS khas buat golongan B40 merupakan satu inisiatif bijak daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

“Ia merupakan inisiatif yang bijak kerana kita tahu keadaan kumpulan B40 terutama yang duduk di PPR (projek perumahan rakyat mempunyai rumah agak kecil dengan jumlah ahli keluarga yang ramai.

“Kawasan mereka juga mungkin susah buat pasukan perubatan untuk melakukan pemantauan dan akses untuk panggil ambulans juga sedikit sukar. Dengan inisiatif seperti ini mampu memantau keadaan pesakit B40 dengan lebih dekat,” katanya kepada Wilayahku sewaktu ditanya mengenai inisiatif PKRCS khas oleh KWP.

Zainal Ariffin

Mengulas mengenai kadar kebolehjangkitan dalam ruang yang kecil, Zainal berkata, ia agak tinggi terutama apabila muncul varian Delta yang mampu berjangkit hanya dalam tempoh 15 saat dan dalam keadaan yang sempit serta tidak mempunyai pengudaraan yang baik mempercepatkan lagi penyebaran wabak COVID-19.

Jelasnya lagi, menjalani kuarantin kendiri bagi golongan B40 lebih sukar apabila mereka mempunyai kanak-kanak atau warga emas yang tinggal bersama.

“Kalau dalam keadaan rumah yang sempit, agak sukar kerana kuarantin kendiri ini perlu mempunyai bilik, tempat makan dan juga bilik air asing daripada penghuni rumah yang lain.

“Mereka juga perlu lebih berhati-hati sebagai contoh perlu memakai double mask, sanitisi tangan selalu, serta mencuci bilik air sekiranya perlu berkongsi dengan ahli keluarga yang lain dengan pembasmi kuman setiap kali digunakan.

“Perlu diingatkan mereka yang positif juga perlu membuka pintu atau tingkap untuk mempunyai pengudaraan yang baik jadi semua perkara ini agak sukar dilakukan bagi mereka yang mempunyai ruang yang terhad,” katanya.

Zainal turut berkata, inisiatif itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan kumpulan B40 kerana tinggal di PKRCS khas bermakna mereka tidak perlu lagi mengeluarkan wang yang banyak berikutan segala kemudahan seperti makanan, minuman dan pengangkutan akan disediakan selain menerima pemantauan perubatan kesihatan yang lebih dekat dan bagus.

Dalam pada itu, beliau juga berharap vaksinasi dapat diberikan segera kepada penduduk PPR kerana jika dilihat dari statistik kebanyakkan kawasan PPR dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana mempunyai jangkitan tertinggi. – WILAYAHKU – DIANA AMIR 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas