Berita

Kes baharu paling rendah, tiada kematian

DR. NOOR HISHAM
- Diterbit 20 April 2020 10:32 AM MYT

PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 hari ini mencatat bilangan paling rendah apabila merekodkan sebanyak 36 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 5,425 kes.

Katanya, dari jumlah itu 2,041 kes adalah aktif dengan berisiko berjangkit.

“Hari ini 98 kes yang pulih dan dibenarkan keluar dari wad dan kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 3,295 kes atau 60.74 peratus.

“Setakat ini, seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah ini, 28 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, tiada kematian direkodkan hari ini menjadikan kes kematian kekal 89 orang.

“Penurunan jumlah kes harian yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes yang dijalankan terutama dalam tempoh dua minggu yang lalu.

“Namun, jumlah atau bilangan kes baharu mungkin boleh meningkat kembali dalam tempoh dua minggu akan datang memandangkan aktiviti pengesanan kes masih giat dijalankan terutamanya ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas