Berita

PKPB sesuai untuk KL

- Diterbit 4 Mei 2021 2:55 AM MYT

SUSULAN peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di seluruh negara, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKNWP) merasakan pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) sesuai dilakasanakan bagi membendung penularan wabak tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, melalui Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memberitahu, beberapa kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri terbabit susulan peningkatan mendadak kes tersebut.

“Ia adalah satu situasi yang cukup sukar dan saya sebagai ahli Mesyuarat Khas MKN COVID-19 hampir setiap hari bermesyuarat dan mendengar nasihat pakar daripada agensi yang terlibat secara langsung atau kelompok profesional yang mengurus kesihatan sampailah kepada agamawan yang memberi nasihat dari pelbagai sudut untuk menangani pandemik tersebut,”

“Tiada formula tetap atau cara terbaik untuk mengurus COVID-19 kerana ia sangat unik dan setiap fasa dan gelombang kita terpaksa menggunakan kaedah yang berbeza.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Prihatin Ramadan Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pengerusi Nasyrul Quran Putrajaya, Datuk Abdul Latif Mirasa.

Beliau yang juga pengerusi JKKKNWPKL berkata, pihaknya merasakan untuk berhati-hati dan menerima hakikat bahawa maklumat menunjukkan terdapat beberapa lokaliti yang perlu diletakkan sebagai PKP Bersasar.

“Ini bermakna dimana kawasan dan tempat yang perlu diperketatkan PKP, maka kita akan perketatkan.

“Jadi sementara itu, secara keseluruhan, kalaupun kawasan itu tidak termasuk dalam senarai sebagai kawasan hot spot, tetapi peningkatan pematuhan perlu dibuat secara menyeluruh,” katanya.

Jelas Annuar, sebagai satu kawasan bandaraya dan ia berdekatan di antara satu sama lain, usaha untuk melakukan pemantauan dan memperketatkan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipergiatkan bagi memutuskan rangkaian penularan wabak COVID-19.

“Sebab kita adalah satu kawasan bandaraya dan kawasan sebelah adalah dekat sahaja, kalau kawasan sebelah merupakan hot spot, tidak bermakna kawasan berdekatan tidak berlaku jangkitan.

“Untuk seluruh Kuala Lumpur terutamanya, kita ambil keputusan untuk semua sekali aspek pematuhan SOP dipertingkatkan.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta untuk menambah semua anggota pemantauan dan penganjur program, persatuan serta badan-badan bukan kerjaaan, mereka dikehendaki menambah jumlah anggota untuk membuat pemantauan.

“Kaedah-kaedah tertentu perlu diperketatkan lagi, tetapi kalau sekiranya kawasan itu telah diperkakukan untuk ditutup dan bila Datuk Seri Ismail umum begitu, ia akan tetap ditutup,” katanya.– AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas