Berita

Alamanda beri sumbangan makanan dan bubur lambuk bernilai RM5,000 kepada IPD Putrajaya

- Diterbit 4 Mei 2021 1:49 AM MYT

PUSAT beli belah Alamanda tampil menghulurkan sumbangan kepada kakitangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya menerusi program Kempen Hari Raya yang dianjurkan oleh Kumpulan Syarikat Suria KLCC pada Isnin.

Sumbangan berbentuk barangan kudapan dan bubur lambuk bernilai RM5,000 itu disampaikan oleh Pengurus Besar Alamanda, Ameer Hussain Thajudeen kepada 600 anggota polis di Putrajaya bagi menghargai pengorbanan mereka yang akan berkhidmat sepanjang Aidilfitri.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Mohd Fadzil Ali pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan dan inisiatif Alamanda Shopping centre di atas penghargaan kepada mereka selaku barisan hadapan yang bertugas setiap malam hampir setahun lebih sepanjang pandemik berlaku.

“Ribuan terima Kasih diucapkan di atas keprihatinan pihak Alamanda yang sudi memberikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan dalam bentuk makanan seperti biskut, teh dan kurma.

“Sumbangan ini akan diberikan kepada anggota yang bertugas pada waktu malam kerana semua sedia maklum kawasan Putrajaya pada waktu malam memang sunyi. Jadi dengan adanya makanan kering seperti ini ia dapat memudahkan keperluan makanan anggota dan persiapan bersahur,” katanya kepada Wilayahku.

Sebagai langkah untuk mengelakkan pembaziran, Fadzil berkata, pihaknya lebih mengesyorkan barang kering daripada barang basah berikutan mereka akan menerima makanan sepanjang waktu bertugas.

“Sepanjang bulan puasa, ramai pihak ingin bersedekah kepada barisan hadapan yang bertugas di lapangan tetapi kami terpaksa agihkan makanan tersebut kepada tempat lain kerana berlebihan dan tidak boleh bertahan.

“Kami akan edarkan makanan mengikut batch by batch bergantung kepada keperluan iaitu satu hari satu paket dan kami juga akan memberikan makanan tersebut kepada petugas yang tiada bekalan makanan seperti petugas yang melakukan swab test kerana mereka kurang menerima sumbangan seperti ini,” ujarnya ketika ditemui selepas pemberian sumbangan di IPD Putrajaya.

Tambahnya, bekalan makanan yang diperolehi kebanyakkannya dalam bentuk makanan basah. Oleh itu, ia akan lebih sukar disimpan berbanding makanan kering seperti biskut yang hanya boleh digunakan bukan sahaja dalam bulan puasa tetapi pada program yang berikutnya.

Dalam pada itu, beliau berasa terharu dan memuji inisiatif Alamanda Shopping Centre di atas kesudian memberikan sumbangan kepada warga IPD Putrajaya. Malah beliau turut berharap agar hubungan bersama pihak Alamanda Shopping Centre akan lebih akrab seiring dengan slogan “polis dan masyarakat berpisah tiada”. – HAZIRAH HALIM -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas