Berita

PKPB: Pusat hiburan, pub tidak dibenarkan operasi

- Diterbit 5 Mei 2020 9:23 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pub dan restoran yang menyediakan hidangan minuman keras tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, larangan tersebut turut meliputi pusat hiburan serta restoran yang menjual minuman keras.

“Kalau restoran bersama pub, ia juga tidak dikategorikan restoran, maka kita buat keputusan bahawa kedai yang jual liquor, ia masuk dalam kategori belum boleh operasi.

“Pub yang jual minuman keras seperti juga karaoke atau pusat hiburan lain, dalam satu senarai tidak boleh dibuka iaitu senarai negatif,” ujarnya menerusi sidang LIVE Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, kelonggaran pergerakan yang diberikan pada masa ini adalah berdasarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan semalam.

Justeru, orang ramai termasuk peniaga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini kerana, katanya, berdasarkan operasi penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam, daripada 91 premis yang diperiksa di berbapa lokasi sekitar ibu negara, 36 kes atau 30 peratus didapati tiada penjarakan sosial.

“Bila kita semak, tuan kedai tidak amalkan, menyuruh atau mengarahkan pelanggan melakukan penjarakan sosial.

“28 premis tidak sediakan hand sanitizer iaitu satu daripada SOP, sebahagian lagi, petugas tidak sediakan PPE (peralatan perlindungan diri) kepada pekerja yang antara lain memakai penutup mulut, apron,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas