Berita

Peniaga sewa, jual lesen bakal disenarai hitam

WARGA asing menjalankan perniagaan menggunakan lesen yang disewa. - Gambar hiasan
- Diterbit 5 Mei 2020 9:17 AM MYT

KUALA LUMPUR – Peniaga yang tidak mematuhi peraturan dan menyalahgunakan pemilikan lesen perniagaan akan berhadapan tindakan senarai hitam nama.

Perkara itu ditegaskan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berikutan terdapat segelintir pemilik lesen perniagaan yang bertindak menyewa atau meminjamkan lesen mereka kepada warga asing.

Malah ujar beliau, individu itu sepatutnya malu dengan tindakan tidak bertanggungjawabnya berikutan rakyat tempatan berhempas pulas memperjuangkan isu kuota dan lesen untuk mereka yang tidak berpeluang.

“Untuk itu, saya cadangkan mereka yang didapati melanggar peraturan atau menjual lesen, sub-lesen atau meminjamkan lesen…, serahkan balik lesen itu atau mereka berhadapan tindakan lesen dibatalkan.

“Kita cadangkan satu sistem ‘blacklisting’ kepada mereka yang memohon lesen memberikan maklumat tidak tepat, maklumat ‘apply’ sendiri nak berniaga, mematuhi peraturan tetapi sebenarnya bagi lesen kepada orang lain,” jelasnya menerusi sidang LIVE Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, operasi penguatkuasaan termasuk semakan terperinci akan dilaksanakan dalam memastikan masalah yang dihadapi pada masa ini dapat diperbetulkan.

Beliau turut menyeru supaya pemilik lesen perniagaan memberi kerjasama dan membaiki keadaan sedia ada sekali gus membolehkan aspek keusahawanan dibangunkan.

“Saya melahirkan kekhuatiran mengambil pekerja asing (bekerja) tanpa kebenaran.

“Saya ingin menyeru dengan sesungguh hati kepada usahawan, penjaja atau peniaga yang diberikan lesen secara sah oleh PBT (pihak berkuasa tempatan) Wilayah Persekutuan untuk beri kerjasama tamatkan amalan memberi, menjual, memajak lesen dan bisnes yang dilesenkan kepada warga asing,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas