Berita

Tiada PKPD di Chow Kit, cuma perketat kawalan keluar masuk

KAWALAN polis dan tentera diletakkan di kawasan Chow Kit dan Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur bermula hari ini.
- Diterbit 5 Mei 2020 9:26 AM MYT

PUTRAJAYA – Tiada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang dan Chow Kit, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebaliknya kawasan tersebut diperketatkan secara pentadbiran.

“Mungkin kita kawal dengan kawad berduri tetapi dari segi kerajaan belum diisytiharkan PKPD lagi.

“Namun, kita kawal keluar masuk di kawasan tersebut lebih ketat lagi,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau turut menegaskan saringan swab Covid-19 turut dilakukan terhadap setiap penduduk di kawasan tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial berlakunya PKPD baharu terutamanya di Chow Kit susulan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang kawad berduri dan mengawal di kawasan tersebut.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri memberitahu, tiada had jangka masa ditetapkan untuk keluar bagi kenderaan persendirian berbanding sebelum ini sehingga 10 malam sahaja.

“Pergerakan telah dibebaskan dari segi daerah. Di dalam peraturan baharu (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) tiada ada had jangka masa untuk keluar,” katanya.

Mengulas berhubung pergerakan pulang ke kampung dan bandar menggunakan pengangkutan awam, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membuat kajian secara terperinci dari segi jumlah pengangkutan awam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas