Berita

PKPB dilanjut hingga 9 Jun, tiada rumah terbuka Aidilfitri

- Diterbit 10 Mei 2020 7:13 AM MYT

PUTRAJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan selama empat minggu sehingga 9 Jun ini sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini bermakna semua tatacara operasi standard akan berkuatkuasa sehingga tarikh baharu itu..

“Usaha kita masih belum berjaya. Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri di sini hari ini.

PKPB yang dikuatkuasakan bermula 4 Mei lalu sepatutnya tamat pada 12 Mei ini.

Selaras dengan pelaksanaan PKPB, kerajaan membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi dan sosial beroperasi dengan mematuhi syarat ketat prosedur standard operasi (SOP) PKP.

Muhyiddin turut menjelaskan, sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengambil maklum terdapat beberapa perayaan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta
Kaamatan dan Hari Gawai sepanjang tempoh baharu PKPB itu.

“Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri,
Pesta Kaamatan atau Hari Gawai.

“Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam
kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang
sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

“Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka dan mematuhi SOP ditetapkan seperti penjarakan sosial, pemakaian topeng penutup hidung dan mulut serta penggunaan hand sanitizer, “katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas