Selebriti

PKPB; Azrel Ismail masih paranoid

AZREL dalam drama Korban Kasih.
- Diterbit 4 Mei 2020 5:34 AM MYT

PELAKON Azrel Ismail mengakui masih paranoid untuk keluar rumah sejak negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) fasa pertama lagi. Malah tambah merisaukannya apabila pihak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Akur dengan keputusan pihak kerajaan yang punya alasan tersendiri untuk melonggarkan syarat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) Fasa ke-4 ini, Azrel bagaimanapun berharap orang ramai sedia meningkatkan amalan penjagaan kesihatan bagi menghindari diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti COVID-19.

“Sejujurnya sejak PKP fasa 1 lagi saya masih takut untuk keluar rumah kerana bimbang dengan wabak ini. Sampaikan setiap kali membeli barangan dalam talian atau memesan makanan, saya akan cuci bekas tersebut dengan cecair pembasmi kuman terlebih dahulu, “ ujarnya kepada Wilayahku.

Pun begitu, dia tidak menafikan agak ‘tepu’ berada di rumah selama lebih sebulan. Biarpun kini kerajaan megumumkan kenderaan persendirian dibolehkan membawa maksimum empat penumpang sepanjang PKPB namun dia masih berkira-kira untuk keluar.

“Perasaan takut tetap menguasai diri. Jika keluar rumah sekali pun, saya akan keluar bersendirian dan memakai topeng muka serta sarung tangan. Biar tidak selesa sedikit asalkan tetap menjaga kebersihan diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas kecaman netizen tentang watak pelajar sekolah yang tidak cocok dengan usianya dalam drama Korban Kasih, pelakon berusia 36 tahun ini mengakui ia tidak memberi kesan terhadap dirinya.

“Netizen yang melontarkan komen tersebut terhadap saya, Saharul Ridzwan dan Zara Zya nyata tidak memahami drama itu secara keseluruhan. Ia adalah episod ‘flashback’. Jarak masa antara zaman persekolahan dan dewasa hanyalah dua hingga tiga tahun sahaja, ia adalah relevan,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas