Selebriti

Haiza, Sarah, Dafi hulur bantuan buat warga Pontian

BANTUAN berupa barangan asas selesai diagih kepada penduduk.
- Diterbit 2 Mei 2020 2:52 PM MYT

BULAN Ramadan yang menjelma di samping Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa keempat membuatkan beberapa artis di bawah naungan Indigital Music tampil menghulurkan bantuan kepada pihak memerlukan baru-baru ini.

Bagi Haiza Hanafi, Siti Sarah Raissuddin dan Dafi, mereka mengambil kesempatan ini untuk sama-sama membantu menghulurkan bantuan kepada penduduk di sekitar Pontian, Johor yang terjejas sumber pendapatan sejak sebulan yang lalu.

“Ini adalah tanggungjawab sosial saya untuk membantu mereka yang memerlukan. Ada orang mencari pendapatan dengan bergaji harian. Jadi mereka mungkin mengalami kesukaran ketika ini.

“Saya ambil inisiatif untuk memberikan keperluan asas kepada mereka yang terkesan dan setidaknya dapat menyambut Ramadan dengan tenang,” kata Haiza.

Program CSR yang dilaksanakan mereka diwakili Norwati Manan yang juga merupakan Pengawai Perhubungan Awam Indigital Music yang kebetulan berada di sana.

Menariknya, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada NGO Pertubuhan Kebajikan Aspirasi Peduli Rakyat Marhaen yang sama-sama turun padang membantu.

Antara bahan keperluan yang diagihkan termasuklah beras, minyak masak, tepung, gula dan beberapa barangan lain lagi.

Fasa pertama agihan bantuan, mereka menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan termasuklah polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengawal kawasan tersebut.

Kemudian, agihan bantuan diberikan kepada 400 keluarga lain sekali gus mengukirkan sedikit senyuman kepada mereka dalam menghadapi situasi getir ini.

SARAH

Meskipun tidak dapat turut serta dalam misi menghulurkan bantuan, Sarah bagaimanapun bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Ini mungkin fasa getir bukan sahaja buat kita di Malaysia tetapi juga di seluruh negara. Kalau orang senang pun merasa terkesan, apatah lagi orang biasa. Saya harap semua sabar dan reda menghadapinya.

“Harapnya lebih ramai yang prihatin dan bantu-membantu antara satu sama lain. Inilah keindahan hidup bermasyarakat,” katanya ringkas.

Bagi Dafi pula, dia berterima kasih kepada pihak NGO tersebut yang sudi mewakili dirinya menghulurkan bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Mungkin sumbangan saya tidak sebesar mana tetapi jika itu mampu memberikan senyuman kepada mereka, saya amat berbesar hati.

“Semoga semua orang dapat menyambut Ramadan dengan tenang dan tiada insan yang terpinggir. Ini sahaja cara saya untuk membantu mereka yang sama-sama berkorban untuk negara bagi memutuskan rantaian Covid-19,” kata Dafi pula. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas