Selera

Piza ala Itali dibakar dalam ketuhar batu bata

|PEMBAKARAN yang dikawal menghasilkan piza yang gebu. |BAHAN yang berkualiti tinggi menjadikan Piza buatan Siti Rafitah lebih istimewa.
- Diterbit 11 Februari 2020 7:26 AM MYT

ADAKAH anda gemar makan piza? Pernahkah anda teringin untuk mencuba piza ala Itali? Berita baik untuk penggemar piza sejati kerana kini ia boleh didapati di kawasan Putrajaya dan Cyberjaya.

Apa yang lebih menarik piza ala Itali ini disediakan segar di dalam trak makanan bergerak yang diberi nama Alla Piccola Italia (API).

Bayangkan, doh dicanai di hadapan mata pelanggan kemudian dibakar di dalam ketuhar batu-bata bersuhu tinggi yang mencecah sehingga 427 darjah selsius.

Paling menarik, masa yang diambil untuk membakarnya cukup singkat iaitu dua minit sahaja.

Pemiliknya, Siti Rafitah Rakhimi, 35, berkata, dengan teknik masakan yang pantas di dalam ketuhar batu bata, luaran piza akan menjadi sedikit garing tetapi roti di dalamnya kekal gebu.

“Hasilnya para pelanggan dapat menikmati piza enak yang dihidangkan dalam keadaan panas,” ujarnya yang mengakui kebiasaannya ketuhar berharga RM27,000 itu hanya digunakan di hotel dan restoran ternama.

PEMBAKARAN yang dikawal menghasilkan piza yang gebu.

Selain teknik pembakaran piza yang menarik, keistimewaan piza itu terletak pada bahan-bahan yang digunakan.

“Doh menggunakan tepung import berkualiti tinggi dari Itali yang mempunyai tekstur grind yang sangat halus mampu membuatkan roti piza lebih anjal dan gebu.

“Selain itu, sos tomatonya pula dari jenis ‘San Morzano’ yang diterbangkan khas dari Itali di samping tiga jenis keju berkualiti tinggi untuk membangkitkan rasa dan aromanya,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang API, Siti Rafitah mendapat idea untuk memulakan perniagaan hasil daripada pengalaman melawat Itali pada tahun 2014.

BAHAN yang berkualiti tinggi menjadikan Piza buatan Siti Rafitah lebih istimewa.

“Saya tertarik dengan keunikan penyediaan piza Itali yang jarang didapati di sini. Seterusnya pada tahun 2018, saya bertekad melepaskan jawatan sebagai Eksekutif Sumber Manusia untuk memulakan perniagaan trak makanan,” ujarnya.

Dengan harga RM17 hingga RM22, pelbagai pilihan piza disajikan antaranya margherita, chicken/beef pepperoni, hawaiian chicken, smoked duck dan spicy prawn.

Alla Piccola Italia (API)

  • Lokasi dan Masa: Tapak Food Truck Hotspot Presint 14, Putrajaya (Khamis hingga Ahad) TAPAK Urban Street Dining, Cyberjaya Park & Ride Parking Space, Cyberjaya (Isnin, Selasa dan Rabu)
  • Waktu: Pukul 6 petang hingga 12 malam (Isnin hingga Jumaat) 6 petang hingga 1 pagi (Sabtu dan Ahad)
  • Instagram: api_pizzaputrajaya
  • Facebook: ApiPizzaPutrajaya
  • Perkhidmatan: Khidmat katering dan jualan di tapak-tapak karnival.
  • Telefon: 010-298 5021
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas