Berita

Ping pong ‘pelengkap’ hidup Tengku Hafifisyah

Hafifisyah Farhah
Hafifisyah Farhah
- Diterbit 12 Julai 2019 1:01 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

TIDAK pernah terfikir bahawa sukan ping pong telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya kini. Bagi Tengku Hafifisyah Farhah Tengku Norshahri, 24, galakan yang diberikan bapanya sejak berumur tujuh tahun menjadi tuah kepada dirinya untuk aktif dalam sukan ini.

“Saya mula ‘berkenalan’ dengan sukan ping pong ketika sering dibawa bapa berlatih ping pong bersama rakan-rakannya.

“Bermula dengan hanya mengutip bola dan seterusnya ketika berumur 10 tahun , saya mula dilatih oleh seorang rakan bapa untuk bergiat aktif dalam sukan ini.

“Oleh kerana bapa saya tidak mempunyai kemahiran asas untuk mengajar permainan ini, beliau te­lah mendaftarkan saya ke sebuah kelab ping pong milik rakannya di Presint 8” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Kata Tengku Hafifisyah lagi, di kelab itu, dia telah mempelajari teknik asas sehingga mampu menyertai banyak kejohanan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur” katanya lagi.

Kata Tengku Hafifisyah lagi, ketika di bangku sekolah, dia sering mewakili sekolah dalam banyak pertandingan yang dianjurkan peringkat sekolah mahupun daerah.

“Saya pernah bermain sehingga peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan mewakili Wilayah Persekutuan bertanding di Kuantan, Pahang.

“Oleh kerana terpaksa bermain ratusan batu jauh dari Putrajaya, bapa sanggup memandu ke Kuantan untuk memberikan sokongan dan melihat saya bermain,” katanya.

Jelasnya lagi, peristiwa tersebut tidak akan dilupakan kerana pengorbanan bapanya yang sangat bernilai dan bertekad akan bermain bersungguh-sungguh dalam setiap kejohanan yang disertainya.

Tambah Tengku Hafifisyah lagi, cabaran sebenar ialah apabila aktif dalam sukan itu ketika menuntut di peringkat Diploma Perakuanan di UiTM, Tapah Perak.

“Disana, saya terpilih untuk mewakili UiTM untuk menyertai kejohanan peringkat Sukan antara Institusi Pengajian Tinggi atau dikenali sebagai SUKIPT,” katanya.

Kata Tengku Hafifisyah, pencapaian tertinggi dalam sukan ini adalah apabila meraih johan berpasukan ketika mewakili UiTM dalam kejohanan Ping Pong IPT pada tahun 2013.

“Pasukan UiTM muncul johan setelah menewaskan pasukan Universiti Malaya dan seterusnya memenangi Piala Timbalan Menteri Pendidikan dan menjadi lebih manis apabila kemengan tersebut turut dipaparkan di media cetak dan media elektronik” katanya lagi.

Tengku Norhafifah yang mengendalikan ‘bet’ dengan tangan kiri mengakui, keistimewaan kemahiran itu merupakan satu kelebihan kepadanya.

“Kebanyakan pemain kurang gemar untuk beraksi dengan pemain kidal kerana mungkin mudah mengawal aliran bola dan permainan tersebut” katanya.

Tambahnya lagi, dia juga merupakan pemain beregu untuk mana-mana kejohanan dan sering diajak untuk menjadi pasangan dalam permainan kerana kemahiran mengendalikan bet menggunakan tangan kidal.

Beliau yang kini bertugas sebagai Eksekutif Akaun sebuah syarikat multinasional optimis dapat mewakili syarikatnya untuk kejohanan di antara syarikat.

“Syarikat ini merupakan sebuah firma antarabangsa, dan sekiranya syarikat menganjurkan kejohanan ping pong, mungkin saya akan dapat mewakili syarikat ini pula,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas