Berita

Keindahan taman di Kompleks Perbadanan Putrajaya

REKA bentuk taman yang ringkas dan kemas.
REKA bentuk taman yang ringkas dan kemas.
- Diterbit 12 Julai 2019 12:45 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KOMPLEKS Perbadanan Putrajaya (PPj), Presint 3, Putrajaya, semestinya dikenali sebagai lokasi untuk melakukan urusan rasmi sama ada berkaitan cukai pintu, bayaran saman mahu pun pemilikan tapak perniagaan atau lesen.

Namun di sebalik pintu gerbangnya yang gah, tersembunyi sebuah taman kecil yang dihiasi arca-arca menarik di samping keindahan kolam air pancut.

Lebih menarik apabila, taman yang berada di tengah-tengah kompleks kerajaan itu dikelilingi pohon-pohon rendang yang menjadikan suasana redup dan sesuai diduduki walaupun ketika panas terik.

Ia juga kelihatan seperti sebuah taman tergantung yang menghiasi puncak atas galeri sekali gus memberikan pandangan semula jadi daripada dataran ke bahagian barat bangunan melalui kawasan tepian air.

Keindahan kompleks yang merupakan salah satu bangunan mercu tanda di sepanjang Persiaran Perdana itu juga dapat dilihat pada waktu senja. Malah landskapnya yang cantik turut diserikan dengan seni bina Istana Kehakiman yang jelas kelihatan dari bahagian tengah ruangan taman.

Terletak berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi di sebelah barat, pastinya memudahkan pengunjung beragama Islam untuk menunaikan solat tatkala sedang beriadah bersama keluarga.

Reka bentuk berkait

Direka bentuk sebagai kompleks yang mempunyai ruang-ruang bersaling kait, Kompleks Perbadanan Putrajaya tampil dengan kelainan tersendiri.

Difahamkan, konsep tersebut mencerminkan bangunan berkenaan bersifat seni bina kontemporari yang diolah daripada binaan bangunan tradisional Islam.

Ciri utamanya ialah pintu masuk atau gerbang dengan ruang pemandangan awam di tingkat paling atas yang memberikan pemandangan yang menakjubkan termasuklah Istana Kehakiman dan Masjid Besi. Pintu masuk ini juga memberikan sudut pandangan semasa sesuatu perarakan diadakan.

Kelainan binaannya juga dapat dilihat pada bangunan utama yang terdiri daripada empat bahagian. Diintegrasikan dengan laman di sepanjang Persiaran Perdana, arked yang terbuka digabungkan menjadi sebuah lanskap Laluan Qiblat (Qiblat Walk). Di sudutnya pula terdapat bilik-bilik mesyuarat yang seolah-olah terapung memberikan pemandangan yang
menakjubkan.

Di sini turut disediakan kemudahan untuk persidangan dan auditorium yang direka bentuk sebagai kompleks bangunan saiz sederhana yang dihubungkan dengan laluan pejalan kaki dan ruang jualan butik di tingkat bawah setiap komponen.

Bahagian depan bangunan di Persiaran Perdana diletakkan jaringan skrin geometri yang kompleks dan menarik bertindak sebagai alat perlindungan daripada sinaran matahari.

Tumpuan

Selain ruangan di dalam kompleks, dataran atau padang luas di hadapannya juga merupakan tempat tumpuan orang ramai khususnya pada malam minggu atau pada hari cuti umum.

Pihak Perbadanan Putrajaya tidak ketinggalan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik setiap minggu. Puncak malam minggu yang sering dinanti-nantikan warga Putrajaya adalah minggu pertama setiap bulan berikutan terdapat program kesenian yang turut menampilkan artis popular tanah air di samping penganjuran seni khat serta permainan api. Badut pun turut serta memeriahkan malam minggu ini.

Baru-baru ini, dataran tersebut menjadi pusat tumpuan warga kota berkelah untuk berbuka puasa beramai-ramai.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas