Berita

PIIACUF 2019 medan kenali seni muzik, vokal dunia Islam

AMINUDDIN (tengah) mendengar penerangan yang disampaikan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj Tengku Aina Tengku Ismail Shah semasa sesi menyampaikan taklimat media berhubung PIIACUF 2019 hari ini
AMINUDDIN (tengah) mendengar penerangan yang disampaikan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj Tengku Aina Tengku Ismail Shah semasa sesi menyampaikan taklimat media berhubung PIIACUF 2019 hari ini
- Diterbit 24 Julai 2019 7:29 AM MYT

PUTRAJAYA – Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 yang bakal berlangsung esok merupakan medan untuk orang ramai termasuk pelancong asing mengenali budaya serta kesenian Islam khususnya dalam seni muzik dan lantunan vokal.

Ini kerana, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim, festival selama empat hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) ini akan menampilkan 135 aktiviti.

Jelas beliau antara acara yang menarik adalah pameran aplikasi realiti imbuhan (AR), konsert, ekspo buku Islamik, festival kanak-kanak serta alunan azan berlainan maqam di samping persembahan seni budaya setempat dan luar negara.

“Kita ingin semua menikmati, mengetahui atau mempelajari apa yang disediakan di PIIACUF ini sebab itu kita datangkan daripada jauh seperti dari Iran, Turki dan Uzbekistan.

“Mereka akan bawa juadah tradisi untuk kita sama-sama menikmati, mengetahui dan mempelajari selain seni vokal serta seni muzik dunia islam,” ujarnya selepas menyampaikan taklimat media berhubung PIIACUF 2019 di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, penganjuran festival dengan tema ‘Keindahan Seni Muzik dan Vokal Islam’ itu juga membolehkan pengunjung membezakan budaya Islam yang terdapat di setiap negara.

“Mereka akan dapat tahu bagaimana ia berbeza di Indonesia bagaimana ia berbeza di Timur Tengah atau di Eropah,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa festival edisi ke-5 itu akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan menyasarkan kedatangan 350,000 pengunjung dari serata negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas