Berita

PIIACUF 2019 landasan penyatuan ummah, perkembangan Islam

WAN AZIZAH menandatangani lukisan batik yang turut dipamerkan di PIIACUF 2019 hari ini.
- Diterbit 25 Julai 2019 8:26 AM MYT

PIIACUF 2019 landasan penyatuan ummah, perkembangan Islam

PUTRAJAYA – Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 berkeupayaan menjadi landasan kepada penyatuan ummah selain menggalakkan perkembangan budaya serta keseniaan dalam dunia Islam.

Perkara itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas mendapati kehadiran ekspatriat dari negara luar antaranya Turki, Uzbekistan, Maghribi, Iran, Bangladesh Thailand dan Korea Selatan di samping pengunjung tempatan.

Menurut beliau, dengan menonjolkan seni budaya yang bercirikan Islam, PIIACUF dapat mengambil peranan untuk menangkis stigma negatif terhadap Islam seperti kewujudan Islamophobia yang menyebabkan umat Islam disalah anggap.

“Penganjuran PIIACUF ini sesungguhnya berlangsung tepat pada waktunya. Festival ini mampu menunjukkan perspektif Islam yang berbeza serta membuktikan seni dan budaya tidak pernah dipinggirkan dalam Islam.

“Ini kerana, festival ini mampu menonjolkan keindahan Islam yang mempunyai perbezaan dalam keseniaan serta kebudayaan,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Perasmian PIIACUF 2019 di sini hari ini.

PIIACUF 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini bertemakan ‘Keindahan Seni Muzik dan Vokal Islam’.

Festival yang bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam itu akan menampilkan 135 aktiviti merangkumi pameran aplikasi realiti imbuhan (AR), konsert, ekspo buku Islamik, festival kanak-kanak serta alunan azan berlainan maqam.

Dr. Wan Azizah turut menyatakan, PIIACUF akan menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa antara Malaysia dengan negara-negara luar terutama sekali kerajaan-kerajaan yang berteraskan Islam.

Beliau juga yakin bahawa elemen seni dan budaya mampu menjana ekonomi negara malah pada tahun lalu, hasil pendapatan dalam sektor kebudayaan telah mencecah RM529.8 juta.

“Jumlah itu akan bertambah seiiring dengan pertambahan pengunjung festival seperti PIIACUF lebih-lebih lagi negara akan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas