Berita

Lihat pesawat dari dekat di Anjung Spotter

PENGUNJUNG mengambil peluang merakam gambar kapal terbang dengan lebih dekat di Anjung Spotter.
- Diterbit 25 Julai 2019 11:29 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

SATU ketika dahulu, orang ramai yang menghantar sanak-saudara atau rakan-rakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang boleh menyaksikan pesawat naik dan turun secara dekat di anjung terbuka yang disediakan di terminal udara berkenaan.

Namun selepas lapangan terbang mengalami proses pemodenan termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi pintu masuk baharu ke Malaysia, reka bentuk lapangan terbang tidak lagi menyediakan ruang sedemikian untuk orang ramai.

Namun nostalgia menyaksikan pesawat turun dan naik dari dekat itu kini boleh diingati kembali apabila pihak Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) membuka sebuah anjung tinjau terbuka pertama di KLIA atau dikenali sebagai Anjung Spotter kepada pengunjung pada 17 Jun lalu.

Sebelum ini orang ramai terpaksa mencari lokasi di celah-celah pokok kelapa sawit di sekitar KLIA untuk menyaksikan pesawat mendarat dan berlepas dari landasan.

Dibina dalam lingkungan 10 meter persegi, lokasi strategik tersebut memudahkan pengunjung menyaksikan pesawat yang mendarat dan berlepas melalui Landasan 32 kiri di Jalan Pekeliling, KLIA, Sepang.

Anjung terbuka yang menelan kos sebanyak RM300,000 itu mampu memuatkan 40 orang pengunjung dalam satu-satu masa. Nampaknya kini, ia merupakan satu destinasi wajib dikunjungi jika ke KLIA.

Merupakan dek pertama di Malaysia, ia dijangka menjadi tarikan para pelancong sama seperti dek-dek yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raleigh-Durham, Amerika Syarikat; Frankfurt, Jerman dan Perth, Australia.

Difahamkan pada masa akan datang, MAHB akan membina beberapa dek terbuka seperti itu lagi bagi memberikan pengalaman istimewa kepada peminat aktiviti pemerhatian pesawat.

Tinjauan Wilayahku di lokasi tersebut baru-baru ini menyaksikan rata-rata pengunjung pelbagai lapisan usia memenuhi kawasan tersebut pada sebelah petang.

Kebanyakannya mengambil kesempatan mengisi waktu cuti hujung minggu dengan membawa keluarga bersama ke anjung tinjau tersebut.

Suasana riuh rendah memeriahkan suasana sekitar anjung tersebut. Kanak-kanak dilihat melompat keriangan dan bersorak setiap kali melihat pesawat mendarat dan berlepas.

Dengan kekerapan pesawat berlepas dan mendarat hampir setiap lima minit sekali, orang ramai tidak bosan menunggu untuk menyaksi serta merakamkan gambar kapal terbang berkenaan.

Pengunjung turut mengambil kesempatan merakam memori bersama keluarga sambil menyaksikan kapal terbang yang melintas.

Keterujaan orang ramai adalah pada saiz pesawat besar yang dapat mereka lihat seperti Airbus A380 dan Boeing 747.

Pesawat terbesar di dunia, Antonov An225 Mriya turut pernah mendarat di KLIA pada Mei lalu.

Selain itu, orang ramai turut terpaku mendengar deruan enjin setiap pesawat yang mendarat dan berlepas. Ia bagaikan satu kepuasan sebagaimana menikmati deruan engin Formula 1.

Menurut salah seorang pengunjung, Fitri Jani, 39, yang datang dari Banting, Selangor, dia mengambil kesempatan pada waktu hujung minggu lalu untuk kali pertama dia hadir bersama keluarga ke Dek Pemerhatian Terbuka tersebut.

“Anak-anak gembira apabila melihat pesawat terbang dari jarak yang dekat. Kawasan ini nampaknya lebih selamat dan spesifik. Kalau cuaca hujan atau panas boleh berteduh di bawah bumbung.

“Diharap pihak terbabit boleh menambah lagi platform supaya dapat menampung lebih ramai pengunjung terutama pada hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Fadhlin Sakina, 25, pula menyifatkan, Anjung Spotter merupakan lokasi yang sesuai untuk pengunjung merakam gambar menarik berlatarbelakangkan
terminal KLIA.

“Suami saya menjadikan lokasi ini untuk melihat dengan lebih dekat model-model kapal terbang terbaharu sekali gus menangkap gambar untuk dijadikan koleksi peribadi. Sebelum ini, kami selalu berhenti di tepi jalan sahaja, mujurlah lokasi baharu lebih selamat,” ujarnya yang datang dari Labu, Negeri Sembilan.

ANJUNG Spotter atau dikenali juga sebagai Dek Pemerhatian Terbuka yang mula dibuka kepada pengunjung pada 17 Jun lalu.
PENGUNJUNG mengambil peluang membawa ahli keluarga untuk melihat kapal terbang secara lebih dekat.
SUASANA di Anjung Spotter yang selesa untuk pengunjung.
SUASANA di Anjung Spotter yang selesa untuk pengunjung.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas