Berita

Pihak Korporat – NGO gembleng kerjasama bantu warga memerlukan

MOHAMAD Asri ketika turun padang menyerahkan kotak makanan hasil sumbangan Yayasan Sime Darby kepada salah seorang penerima di Wangsa Maju, baru-baru ini.
- Diterbit 5 September 2021 6:00 AM MYT

INISIATIF kerjasama entiti korporat Yayasan Sime Darby dengan badan NGO, Pertubuhan Kebajikan Maju Sejahtera (PKMS) membolehkan penduduk memerlukan di sekitar Wangsa Maju dibantu.

Bantuan berupa barang keperluan asas antaranya seperti beras, susu, gula, tepung, minyak masak, bihun dan lain-lain memanfaat 30 keluarga B40 di Flat Danau Kota, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari dan Taman Setapak Indah.

Presiden PKMS, Mohamad  Asri Abdul Wahid berkata, bantuan hasil sumbangan Yayasan Sime Darby diagihkan kepada penduduk yang telahpun memohon melalui Majlis Perwakilan Penduduk atau Penyelaras Parlimen Wangsa Maju.

BANTUAN kotak makanan diserahkan kepada penerima secara terus di kawasan penempatan masing-masing. Sejumlah 30 penerima telah dibantu melalui inisiatif murni Yayasan Sime Darby itu.

Pihak PKMS katanya, menjadi medium perantara bagi melancarkan urusan agihan bantuan secara terus kepada penerima di kawasan penempatan masing-masing.

“Sebanyak 30 kotak barang makanan asas telah disumbang Yayasan Sime Darby diagih kepada penerima dengan setiap kotak barang makanan dianggarkan bernilai lebih RM60.

Jadi, sebagai penyelaras bagi usaha membantu masyarakat, kami berharap lebih banyak institusi korporat tampil menyumbang dan meringankan beban golongan rakyat B40 mahupun M40 yang menjadi kelompok paling ramai terkesan akibat penularan pandemik COVID-19, katanya.

Selain PKMS, kotak makanan sama turut disalur Yayasan Sime Darby kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan sebelum diagih kepada penerima atau asnaf memerlukan yang berdaftar dengan agensi itu.

Menurut Mohamad Asri, PKMS sentiasa terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak sama adaindividu atau syarikat membantu  golongan memerlukan malah tidak terhad hanya di Wangsa Maju sahaja, sebaliknya kawasan lain yang dirasakan perlu.

“Kami (PKMS) akan sedaya upaya bantu mereka yang memerlukan dan tidak hanya tumpu pada Wangsa Maju saja. Selain itu, PKMS juga dalam kerangka wujudkan kelas Al-Quran bagi mendidik kanak-kanak dan dewasa, Insha-Allah  dalam sikit masa lagi untuk direalisasikan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas