Berita

Potongan zakat bulanan khas buat warga PDRM dilancarkan PPZ-MAIWP

MAJLIS pelancaran SKIM-PZB Khas Warga PDRM telah disempurna oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pemangku CEO PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, baru-baru ini secara maya.
- Diterbit 5 September 2021 1:28 PM MYT

SKIM Potongan Zakat Bulanan (SKIM-PZB) khas untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini boleh didapati hasil inisiatif oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Pelancaran skim tersebut adalah sebagai usaha menggalakkan bayaran zakat setiap bulan dalam kalangan anggota serta pegawai PDRM dengan mudah, secara dalam talian yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Pelancaran kempen selama empat bulan bermula Ogos hingga Disember 2021 telah disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim sambil disertai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dilangsungkan secara maya.

Mengulas mengenainya, Mazlan berkata, objektif utama Kempen DKIM-PZB Khas Warga PDRM ini adalah menggalakkan lebih ramai anggota dan pegawai PDRM terutama di Wilayah Persekutuan untuk tunaikan zakat pendapatan secara bulanan melalui potongan gaji.

“Kempen ini juga sebagai galakan kepada warga PDRM untuk mengekal dan menambah bayaran zakat mereka di PPZ-MAIWP, secara langsungnya dapat membantu lebih ramai asnaf memerlukan ketika ini,” kata beliau ketika melancarkan skim yang julung kalinya diperkenalkan.

Sementara itu, berdasarkan statistik menunjukan MAIWP selaku institusi diamanah mengagihkan zakat di Wilayah Persekutuan, memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membantu lebih 27,000 keluarga asnaf setiap bulan.

Menurut Abdul Hakim Amir, jumlah tersebut akan terus meningkat dari semasa ke semasa di mana bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu mulai Januari hingga Jun 2021, MAIWP telahpun mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM373.7 juta kepada asnaf-asnaf di Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, dana diperuntukkan itu bergantung sepenuhnya kepada hasil kutipan zakat dilaksana PPZ-MAIWP melalui sembilan saluran bayaran sebagai pilihan untuk kemudahan umat Islam.

“Justeru, Kempen Skim PZB Khas Warga PDRM dilihat sebagai salah satu inisiatif kondusif untuk memastikan wang zakat dikutip mencukupi bagi menampung perbelanjaan asnaf selari dengan slogan kempen ini ‘Kitalah Wira Asnaf’,” katanya.

Dalam pada itu Abdul Hakim Amir menjelaskan, berdasarkan rekod terkini pembayar PPZ-MAIWP menunjukkan 2,705 warga PDRM telah membuat potongan zakat secara bulanan melalui Skim PZB dengan bayarannya melebihi RM1 juta.

InsyaAllah dengan adanya kempen ini kami yakin lebih banyak warga PDRM akan tampil membuat potongan zakat secara bulanan ini.

“Antara kelebihan lain disedia melalui Skim PZB ini adalah majikan layak mendapat Skim Wakalah atau pengembalian semula wang zakat sebanyak 12.5 peratus sehingga 37.5 peratus jika potongan gaji kakitangan melebihi RM100,000,” ujarnya.

Sebagai maklum balas, Mazlan pula menyatakan, bermula tahun ini, PDRM telah mengorak langkah ke arah menggalak warganya di semua peringkat untuk mencarum bayaran zakat melalui kaedah potongan gaji di PPZ-MAIWP.

“Kami mensasarkan 80 peratus warga membuat potongan gaji zakat supaya manfaatnya dapat diberi semula kepada warga PDRM memerlukan melalui wakalah majikan dan diagihkan di seluruh negara.

“Jadi, saya ingin menyeru kepada semua warga PDRM untuk segera membuat potongan bulanan gaji untuk zakat kerana ianya lebih konsisten dan dapat meningkatkan peratusan penerimaan wang wakalah daripada 12.5 kepada 37.5 peratus yang memberikan manfaat besar untuk keseluruhan pasukan PDRM,” jelas beliau.

Dalam pada itu, kempen terbuka kepada semua warga PDRM melalui saluran Skim PZB sama ada pembayar baharu atau yang menambah jumlah potongan zakat.

Cara penyertaan Daftar Skim PZB secara dalam talian melalui, laman web – ptg.zakat.com.my atau Imbas QR Kod selain melalui kaedah manual (isi borang) boleh didapati dikaunter PPZ-MAIWP Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain kaunter zakat bergerak dan daripada majikan.

Selain memberi sinar gembira kepada golongan yang memerlukan, warga PDRM yang menyertai skim ini turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik antaranya komputer riba, tablet, telefon pintar, penggoreng udara dan juga baucar membeli-belah yang disediakan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini, layari https://bit.ly/pzb-pdrm, atau sebarang pertanyaan lanjut emel ke [email protected] atau hubungi talian zakat 1 300 88 5757. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas