Berita

Piala Thomas, Uber mula Oktober depan

BWF yakin Oktober tarikh terbaik adakan Piala Thomas dan Uber 2020.
- Diterbit 30 April 2020 9:02 AM MYT

AKSI pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 akan berlangsung pada 3 hingga 11 Oktober tahun ini di Aarhus, Denmark. Perkara ini disahkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Badminton Denmark.

BWF menerusi Setiausaha Agungnya, Thomas Lund berkata, keputusan ini diambil setelah kerajaan Denmark menyambung larangan ‘perhimpunan besar’ di Denmark sehingga akhir Ogos ini.

Kedua-dua pihak bersetuju dan merumuskan penganjuran pada bulan Oktober adalah penyelesaian terbaik.

“Keutamaan kami ialah kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan atlet, kakitangan, sukarelawan, pengadil dan keseluruhan komuniti badminton.

“Kami mengikut nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pelbagai pakar kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Denmark,” katanya dalam satu kenyataan.

BWF juga yakin dengan tahap keselamatan dan kejayaan kejohanan tersebut pada tarikh 3 hingga 11 Oktober itu nanti, namun akan memantau secara dekat jika keadaan berubah lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Badminton Denmark, Bo Jensen berkata, mereka sedih untuk mengubah tarikh kejohanan itu buat kali kedua, tetapi apa yang menjadi kegusaran mereka ialah mengenai keselamatan kesemua yang terlibat dalam keadaan yang tidak menentu ini.

“Ia satu kejayaan bagi kami untuk menjadi negara pertama di luar Asia untuk menjadi tuan rumah kepada pusingan akhir Piala Thomas dan Uber dan kami mahu menerima peminat, pemain, sukarelawan, pegawai dan kakitangan dalam keadaan yang paling selamat,” kata Jensen.

Pusingan akhir Piala Thomas dan Uber yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 24 Mei ditangguhkan buat kali kedua ke 15 hingga 23 Ogos akibat keadaan kesihatan global yang semakin buruk. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas