Berita

3,194 penuntut IPT pulang ke kampung hari ini

ANGGOTA bomba melakukan proses disinfeksi ke atas bas yang membawa pelajar pulang ke kampung. Gambar hiasan
- Diterbit 30 April 2020 9:18 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 3,194 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dijadualkan pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan melibatkan intra zon iaitu zon timur, Perak, selatan dan Sarawak dengan menaiki 210 buah bas dan 73 kenderaan persendirian.

“Bagi zon timur merangkumi sebahagian Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan 1,029 pelajar dihantar pulang bermula pukul 9 malam nanti.

“Kepulangan pelajar ini melibatkan 84 buah bas dan 73 kenderaan persendirian ke 31 destinasi dan berlepas daripada 23 pusat pelepasan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau turut menambah, 519 penuntut dari Perak akan dihantar pulang bermula 9 pagi dengan dijangka tiba pukul 5 petang hari dengan menaiki 25 buah bas.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut menegaskan 1,366 penuntut dari zon selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor akan mula bergerak pulang pukul 9 malam hari ini dengan 76 buah bas.

“Sementara itu, pelajar dari zon Sarawak pulang melibatkan 280 pelajar dengan 25 buah bas bermula pukul 9 pagi dan dijangka berakhir pukul 9 malam ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas