Berita

JAKIM nafi terbit garis panduan solat hari raya dalam PKP

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini berkemungkinan tiada solat hari raya diadakan di masjid sekiranya PKP dilanjutkan. Gambar hiasan
- Diterbit 30 April 2020 6:41 AM MYT

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan ada mengedarkan dokumen mengenai garis panduan sambutan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebarang makluman yang tidak dikeluarkan melalui saluran rasmi JAKIM adalah dianggap tidak sah,” kata Jakim dalam satu kenyataan.

Pada masa ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan sama ada menamatkan PKP yang dijadual berakhir pada 12 Mei atau melanjutkannya hingga Hari Raya Aidilfitri.

Terbaharu, tular di laman sosial mengenai garis panduan sambutan Aidilfitri dalam tempoh PKP.

Antara garis panduannya, solat sunat Hari Raya Aidilfitri boleh diadakan di rumah tanpa atau dengan khutbah.

Ahli keluarga yang dikuarantin di rumah tidak boleh turut serta mengikuti solat hari raya.

Selain itu, pesakit dan petugas di hospital pula dibenarkan menjalankan solat hari raya mengikut peraturan Kementerian Kesihatan (KKM).

Garis panduan itu juga menyebut takbir raya di masjid atau surau pula dilakukan oleh Imam, Bilal atau Siak secara rakaman selain orang awam digalakkan bertakbir di rumah sahaja.

Sementera itu, pengendali stesen penyiaran pula disarankan menyiarkan rakaman takbir yang sedia ada dengan meletakkan kapsyen ‘Rakaman ini telah dibuat sebelum tempoh PKP’

Garis panduan yang ditular itu turut menyentuh aktiviti rumah terbuka yang tidak boleh dijalankan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Orang ramai boleh menggunakan media sosial bagi menggantikan amalan ziarah menziarahi manakala bacaan Surau Yasin dan tahlil diadakan di rumah menggantikan amalan ziarah kubur. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas