Berita

Piala Presiden Perbadanan Putrajaya 2023, penanda aras penganjuran sukan Muay Thai

AKSI para petinju ketika Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Piala Presiden PPj baru-baru ini.
- Diterbit 22 Disember 2023 9:40 AM MYT

KEJOHANAN Seni Mempertahankan Diri Piala Presiden Perbadanan Putrajaya 2023 yang berlangsung di Gelanggang Mokhtar Dahari, Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya pada Sabtu lalu dilihat mampu menjadi penanda aras kepada penganjuran acara sukan Muay Thai berskala besar di negara ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, acara yang diadakan itu berjaya menarik penyertaan 100 orang petinju berusia dalam lingkungan lapan hingga 45 tahun dari seluruh negara yang bertanding dalam dua acara iaitu Muay Thai Sport dan Muay Thai Profesional.

“Penganjuran pertandingan dengan kerjasama Persatuan Muay Wilayah Persekutuan Putrajaya dan disokong oleh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) serta Persatuan Muaythai Malaysia ini dilihat mampu menjadi platform untuk membakar semangat anak-anak muda bagi menceburi bidang sukan berkenaan suatu hari nanti.

“Sukan Muay Thai mempunyai peminat yang ramai di negara ini dan kita yakin mampu menarik golongan muda untuk menyertainya sekali gus dapat mencungkil bakat ramai lagi petinju tempatan yang berbakat,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam masa sama, Fadlun berkata Kejohanan Seni Mempertahankan Diri (Muay Thai) Piala Presiden PPj yang julung kali diadakan pada tahun 2022 menjadi pemangkin kepada penganjuran yang sama pada tahun ini.

“Muay Thai juga antara seni mempertahankan diri yang dipilih oleh Penguat Kuasa PPj sebagai salah satu rutin latihan kecergasan kerana ia memberikan kelebihan daripada sudut kecergasan dan kesihatan kepada anggota penguat kuasa.

“Muay Thai merupakan satu bentuk seni mempertahankan diri yang unik serta sesuai untuk semua golongan sama ada lelaki, wanita mahupun kanak-kanak kerana ia boleh dijadikan sebagai hobi dan gaya hidup yang sihat,” ujar beliau.

Terdahulu, perlawanan dimulakan dengan 80 orang petinju amatur di dalam acara Muay Thai Sport di mana juara menerima hadiah berupa medal serta sijil penyertaan manakala pada sebelah malam sebanyak 20 orang petinju Muay Thai Profesional bertarung bagi merebut gelaran juara.

Menariknya, beberapa acara selingan aliran seni bela diri turut dipertontonkan antaranya acara Demonstrasi Seni Bela Diri Silambam, Demonstrasi Seni Bela Diri Taekwondo (WTF), Demonstrasi SMD Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya dan Demonstrasi Seni Bela Diri Silat Parang.

Dalam kejohanan itu, johan telah disandang oleh Mohamad Shahrul Hakim Rosli diikuti Asuad Khalid bagi naib johan. Pemenang tempat pertama berjaya membawa pulang wang tunai dan tali pinggang gelaran manakala naib juara menerima piala dan wang tunai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas