Berita

PHKL, KWP bakal jalin kerjasama

VIKNESWARAN (depan, dua dari kanan) bersama pasukan baharu PHKL.
VIKNESWARAN (depan, dua dari kanan) bersama pasukan baharu PHKL.
- Diterbit 4 Julai 2019 7:10 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

KUALA LUMPUR – “Kita akan berusaha sebaik mungkin bagi mengembalikan zaman kegemilangan hoki seperti awal era 90-an lalu,” ujar I. Vikneswaran.

Beliau berkata demikian sejurus dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) apabila memenangi jawatan itu dengan kelebihan undi 20-12 ke atas penyandang S. Samson pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) kali ke-25.

Menurut Vikneswaran, langkah pertama yang dirangka untuk masa hadapan hoki adalah mengadakan mesyuarat bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad selewat-lewatnya pada minggu hadapan.

“Saya yakin pihak kementerian akan memberikan sokongan padu kepada persatuan hoki memandangkan sebelum ini menteri pernah membantu PHKL untuk mengekalkan kedudukan stadium di bawah persatuan ini,” ujar­nya.

Katanya lagi, beberapa perubahan positif juga dirancang bersama pasukan baharunya dalam program pembangunan hoki agar ia tidak jauh ketinggalan berban­ding persatuan lain.

“Selepas ini, diharapkan agar Liga Hoki berjalan dengan lancar dan tersusun sekaligus memenangi lebih banyak lagi kemenangan di peringkat kebangsaan selain menerima penyertaan dari segenap lapisan masyarakat dan lapisan umur,” ulasnya.

Tambahnya lagi, untuk bergerak ke arah itu, stadium hoki juga bakal diserikan dengan kelengkapan fasilititi yang moden seiring peredaran zaman, antaranya kemudahan pusat kecergasan, kafeteria, bilik fisioterapi serta asrama yang selesa kepada pemain.

“Semuanya ada dalam perancangan dan akan dibentangkan dalam masyuarat akan datang. Diharapkan segala manifesto yang dijanjikan dapat dilaksanakan agar hoki negara mara ke peringkat ter­tinggi,” tegasnya.

Untuk rekod, ‘pasukan baharu’ PHKL ini diterajui oleh Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin sebagai Presiden. Mereka berjaya mengetepikan kepimpinan lama yang sudah menjawat satu-satu jawatan hampir 30 tahun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas