Berita

Pesta Air Putrajaya 2019 rancak

PENDAYUNG mengerah tenaga bagi mencecah garisan penamat perlumbaan dragon bot pada Pesta Air Putrajaya 2019 baru-baru ini.
- Diterbit 4 Oktober 2019 7:18 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Pesta Air Putrajaya 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Presint 6 di sini baru-baru ini ternyata mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan 42 buah pasukan daripada sekolah, universiti tempatan, kelab-kelab negeri serta agensi kerajaan dan swasta.

Biarpun keadaan cuaca yang masih tidak begitu baik ekoran jerebu yang masih melanda namun itu bukan menghalang peserta untuk berentap bagi meraih gelaran juara bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Menurut Presiden Perbada­nan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim, sepanjang tiga hari pertandingan tersebut menyaksikan Pesta Air Putrajaya semakin kukuh dan berjaya mengumpul peminat-peminatnya yang tersendiri dengan lebih 5,000 pengunjung.

“Jika diikutkan kita sepatutnya menerima 100 penyertaan pasukan namun keadaan jerebu yang melanda membuatkan ramai yang tidak sempat berlatih. Pun begitu, segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, PPj beriltizam untuk menjadikan Tasik Putrajaya sebagai hab sukan air kebangsaan dan sedang membuat beberapa rujukan untuk merancakkan lagi penyertaan pihak luar untuk pertandingan yang berprestij.

“Pelbagai program air yang telah dilaksanakan di Tasik Putrajaya ini sepanjang tahun antaranya Kejohanan Ski Air Dunia 2019, Putrajaya Boat Race 2019 dan sebagainya.

Bukan sahaja peserta dari luar negara bahkan ia juga men­jadi tumpuan pelajar-pelajar sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi kegembiraan bergelar juara bagi kategori perempuan Ka­yak Sprint 500 meter (K1) Terbuka, atlet Wilayah Persekutuan, Aishah Farhanah Azwan, 19, mengakui ia merupakan antara detik-detik indah sepanjang bergiat aktif dalam sukan kayak.

“Ini merupakan kali kelima saya menyertai Pesta Air dan nampaknya baru kali ini kemenangan berpihak kepada saya. Ia menyuntik semangat untuk berjaya di SUKMA 2020,” ujarnya dengan catatan masa 2 minit 21 saat meninggalkan Johor Gemilang dengan perbezaan masa 2 saat.

Selain itu, juara Kayak Sprint 500 meter (TK2) Lelaki, Montoya Micheal, 16, mengakui dia dan pasangannya Mohd Ridzuan Abd Aziz, 16, agak gemuruh pada saringan pertama namun berjaya mengatasi perasaan tersebut dengan mempamerkan momentum kayuhan laju dan sekata dalam masa 2 minit 19 saat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas