Berita

Pupuk kesedaran pemuliharaan lapisan ozon

PARA pelajar dan peserta sambutan Hari Ozon Sedunia 2019 bergambar di perkarangan Anjung Budaya, Taman Damai, Layang-Layangan baru-baru ini.
- Diterbit 4 Oktober 2019 7:13 AM MYT

Oleh NORHATIJAH ABDUL RAJAK
[email protected]

LABUAN – Sambutan Hari Ozon Sedunia Tahun 2019 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini diisi dengan pelbagai program seperti pemeriksaan penghawa dingin kenderaan serta penanaman 122 batang pokok sejumlah 122 batang.

Selain itu, orang ramai turut menyertai acara larian Ozone Race dan Beach Clean-Up bagi menyemarakkan sambutan tersebut. Sam­butan bertemakan “32 Years and Healing” yang diadakan di Auditorium Anjung Budaya, Taman Damai, Layang-Layangan itu telah dirasmikan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang juga Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan (PL).

Rozman berkata, sambutan Hari Ozon Sedunia itu bertujuan untuk mempertingkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu penipisan lapisan ozon dan tindakan-tindakan yang diperlukan untuk memulihkan lapisan ozon.”

“Masalah penipisan lapisan ozon adalah disebabkan oleh penggunaan Bahan Pemusnah Ozon yang mengandungi “klorin” seperti kloroflourokarbon (CFC) yang digunakan dalam sektor pendingin hawa, aerosol, peti sejuk dan juga melalui pembuatan busa serta bahan pelarut terutama dari kilang elektronik,’’ katanya.

Program itu dianjurkan Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama PL dan Jabatan Pendidikan Labuan serta JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited.

Hadir sama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Labuan, Amir Hamzah Musa;Pengarah Urusan JX Nippon Oil & Gas Exploration, Manabu Doi dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran PL, Datuk Othman Che Jusoh.

Sementara itu, sambutan tersebut yang turut dihadiri guru dan pelajar dari se­kolah menengah dari seluruh Labuan diberi pendedahan melalui ceramah kesedaran pemuliharaan ozon yang disampaikan Gwendolyne Christopher daripada Jabatan Alam Sekitar Labuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas