Berita

Kisah di sebalik mata wang

ANTARA peralatan yang digunakan untuk mencetak cek suatu ketika dahulu.
ANTARA peralatan yang digunakan untuk mencetak cek suatu ketika dahulu.
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:48 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

JIKA diperhatikan dengan teliti, helaian kertas yang bernilai di dalam dompet kita sebenarnya mengandungi karya halus yang mempamerkan kepelbagaian reka bentuk serta keunikan di samping lengkap dengan ciri-ciri keselamatan.

Untuk pengetahuan, mata wang kertas yang dihasilkan di setiap negara mempunyai kisahnya tersendiri. Ada yang menceritakan tentang seni bina bersejarah seperti di Greece, ada pula menonjolkan seni, budaya dan masyarakatnya seperti di Laos serta Jamaica. Beberapa buah negara pula menampilkan pemimpin-pemimpin utama seperti Mahatma Gandhi di India.

Setiap rekaannya juga memerlukan kemahiran yang tinggi kerana ia melambangkan sesebuah negara contohnya mata wang Euro. Antara perkara yang perlu diambil kira ialah warna, jenis tulisan, ruang, imej-imej dan latar belakang reka bentuk.

Di Malaysia, corak songket diberi keutamaan pada latar belakang mata wang. Mempunyai enam motif, setiap nilai mata wang mempamerkan perbezaannya seperti motif ‘pucuk rebung pedada’ menghiasi wang kertas RM100 manakala ‘pucuk rebung’ pada RM50 dan ‘pucuk rebung lawi ayam’ pada RM5. Motif pada RM100, RM50, RM10 dan RM5 adalah corak eksklusif bagi siri mata wang keempat dengan temanya ‘Keunikan Malaysia’.

Bukan hanya mempunyai keunikan tersendiri malah mata wang Ringgit Malaysia juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang disisip secara rapi menerusi visual supaya setiap helaian wang kertas itu mempunyai perlindungan penuh.

Bak kata Gabenor Ke-7 Bank Negara Malaysia, Dr. Zeti Akhtar Aziz, “Sesungguhnya banyak fakta yang terkandung dalam setiap jenis bentuk mata wang luar dan dalam negara, baik duit syiling mahu pun wang kertas. Kesemua ini bukan sahaja mencerminkan aspirasi pengeluar mata wang, tetapi juga menyerlahkan ciri-ciri utama warisan, adat resam, ekonomi, kepercayaan dan agama masyarakat serta sejarah sesuatu bangsa serta negara.”

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitannya, Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia yang terletak di Sasana Kijang, Kuala Lumpur merupakan destinasi terbaik untuk dilawati. Mempunyai lapan galeri, muzium ini ditubuhkan untuk memberi peluang kepada orang ramai mengenali serta mempelajari tentang kepentingan ekonomi, perbankan Islam, dan perancangan kewangan.

Pada masa sama, pengunjung juga dapat menimba pengetahuan tentang peranan serta transformasi pengurusan mahu pun penerbitan mata wang kertas dan syiling oleh Bank Negara sejajar dengan perkembangan zaman di samping koleksi-koleksi seni dari bumi Asia Tenggara dan Malaysia yang diperoleh sejak tahun 1962.

Sudut interaktif

Lebih menarik apabila, pengunjung juga didedahkan dengan corak perdagangan suatu masa dahulu secara visual dan interaktif sekali gus membolehkan mereka menyelami cara hidup generasi terdahulu.

Memasuki sahaja ke setiap ruangan di galeri berkaitan, kedengaran audio suara di samping visual seperti di sudut perdagangan Islam manakala di sudut kemajuan sebuah negara, petikan berita dari setiap akhbar di kolaj dan dicetak besar.

Pengunjung berpeluang mendengar audio kisah pembangunan ekonomi Malaysia berasaskan perancangan strategi. Pameran pelbagai jenis dolar perdagangan dan duit syiling Kepulauan Melayu yang dapat dilihat di Denai Duit Syiling juga membuatkan pengunjung seolah-olah berada di dunia tersebut.

Manakan tidak, bentuk-bentuk duit syiling tersebut berbeza mengikut negeri serta zaman seperti duit syiling timah bentuk ayam jantan, dikeluarkan semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Mu’adzam Shah II (1710- 1773) di Kedah.

Selain itu, di pintu masuk setiap galeri, terdapat pameran set peralatan untuk menempa duit syiling emas bagi negeri-negeri Melayu abad ke-16 hingga abad ke-20.

Malah pengunjung juga dapat melihat 203 jenis mata wang dari seluruh dunia di sudut pameran mata wang kertas dunia sekali gus mengetahui keunikan serta keisitmewaan sesetengah negara.

PENGUNJUNG juga berpeluang merakam gambar-gambar duit yang dipamerkan.
PENGUNJUNG melihat antara corak yang terdapat pada permukaan duit.
PENGUNJUNG leka melihat matawang lama yang dipamerkan.
SUASANA di ruang legar di Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas