Berita

Peruntukan RM300,000 bantuan bakul makanan disalurkan kepada ahli Parlimen hari ini – PMO

PROGRAM Bantuan Bakul Makanan sedia ada akan diteruskan dan dipertingkat bagi memenuhi keperluan golongan yang terkesan.
- Diterbit 1 Julai 2021 1:33 PM MYT

PERUNTUKAN RM300,000 bagi program Bantuan Bakul Makanan kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang, menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), mula disalurkan hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi (yang ahli Parlimennya telah meninggal dunia), peruntukan itu masing-masing akan disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik, Perak dan Majlis Perbandaran Sandakan, Sabah.

“Susulan pengumuman Pakej PEMULIH oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lepas, program Bantuan Bakul Makanan sedia ada akan diteruskan dan dipertingkat bagi memenuhi keperluan golongan yang terkesan.

“Peruntukan ini bagi memperkasa program Bantuan Bakul Makanan sedia ada untuk memastikan pelaksanaan yang lebih terangkum dan efektif kepada kumpulan sasaran di seluruh negara,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada 28 Jun lepas, Muhyiddin berkata menyedari kepentingan barangan keperluan asas rakyat dan mengambil sikap mengetepikan perbezaan politik dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada setiap ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang, untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Pakej PEMULIH berjumlah RM150 bilion itu merupakan kesinambungan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional sejak pandemik COVID-19 dikesan di negara ini awal tahun lepas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas