Artikel

Perbaharui iltizam

SULTAN ABDULLAH bertitah pada pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.
- Diterbit 13 Jun 2020 12:01 PM MYT

WARGA Wilayah Persekutuan menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena Hari Keputeraan Seri Paduka pada Isnin lepas.

Rakyat mendoakan agar Seri Paduka dikurniakan kesejahteraan dan terus bersemayam di singgahsana dengan segala kehormatan serta sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Sebab itu Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong bukan sebarangan peristiwa. Ia adalah simbol kepada kedaulatan, kemakmuran, ketahanan dan perpaduan negara.

Inilah masa bagi rakyat dan semua pihak memperbaharui iltizam untuk menjunjung perlembagaan negara, yang institusi Raja adalah terasnya.

Minda Pengarang minggu ini sangat berharap golongan yang berpengaruh terutama pemimpin-pemimpin politik menjunjung institusi Raja Melayu dalam erti kata sebenar. Hal ini mesti dicerminkan dengan tingkah laku, adab, pemikiran mahupun jati diri kerana mereka sentiasa diperhatikan dan dinilai oleh rakyat.

Amat menyedihkan apabila kerap berulang perbuatan menghina Raja-Raja Melayu dalam kalangan ahli dan penyokong parti politik tertentu. Pun begitu, para pemimpin parti berkenaan tidak sedikitpun menegur ahli dan penyokong mereka apatah lagi untuk mengeluarkan amaran serta tindakan keras terhadap perbuatan tersebut.

Malah ada pemimpin yang mempersoalkan hukuman yang dikenakan terhadap individu tertentu atas kesalahan menghina Raja- Raja Melayu. Bukan itu sahaja, terdapat aktivis politik Melayu fahaman liberal yang lantang mahu menjadikan Malaysia negara republik, diangkat oleh pemimpin tertentu menjadi penasihat.

Ramai di kalangan kita yang merasa terganggu dengan tingkah laku beberapa pemimpin termasuk bertaraf negarawan yang tidak menjaga adab sopan apabila merujuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam pertuturan di khalayak awam termasuk pada sidang media.

Contohnya penggunaan istilah ‘dia’ bagi ganti nama Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta singkatan yang tidak sesuai seperti istilah Agong semata-mata. Sepatutnya pemimpin lebih faham dan sensitif tentang protokol bahasa berkaitan Raja-Raja Melayu, bukan sebaliknya.

Para penasihat negarawan itu juga dibiarkan membuat tohmahan dan serangan peribadi terhadap Raja-Raja Melayu. Ternyata ia menjadi teladan yang buruk selain boleh ditafsir gerakan untuk menghasut rakyat bagi menggugat institusi Raja Melayu.

Berhati-hatilah jika gejala itu tidak dihentikan dan diperbetulkan segera, ia pastinya membawa mudarat lebih besar.

Maka ambillah kesempatan pada Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ini untuk kita membina jati diri lebih teguh dalam mempertahankan institusi Raja Melayu. Daulat Tuanku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas