Berita

Pertandingan ‘Gayamu, Caramu’ Lazada galakkan usahawan fesyen ceburi perniagaan digital

- Diterbit 27 Disember 2022 12:08 PM MYT

LAZADA Malaysia melancarkan Pertandingan ‘Gayamu, Caramu’ – Sell Your Style bermula awal bulan ini hingga 28 Feb tahun depan untuk menggalakkan lebih ramai usahawan fesyen menceburi perniagaan digital dan melancarkan kedai dalam talian mereka di Lazada, sekali gus meraih jutaan pelanggan menerusi platform itu.

Lazada dalam kenyataan hari ini berkata tiga pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 seorang.

“Pertandingan terbuka kepada semua penjual warganegara Malaysia, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) yang baru menyertai marketplace Lazada di bawah kategori fesyen.

“Pertandingan ini bertujuan memperkasa usahawan fesyen menerusi teknologi digital dan e-dagang dengan memanfaatkan sepenuhnya alat digital menerusi Pusat Pembeli Lazada apabila mereka menjual pelbagai pilihan pakaian dan aksesori terkini kepada pelanggan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, setiap peserta akan turut menerima RM1,000 kredit Lazada Sponsored Solution (LSS), Program Penghantaran Percuma Maksimum disubsidi selama sebulan, RM150 kredit iklan, trafik ekslusif, pendedahan untuk penjual baharu dan akses percuma sebulan kepada alat Pengurusan Penglibatan Pelanggan (CEM).

Lazada University akan turut menyediakan bantuan memuat naik produk baharu dan akses kepada sumber serta sokongan langsung kepada setiap peserta pertandingan.

Selain itu, di bawah program Seller Affiliate, penjual kategori fesyen juga boleh meraih pendapatan tambahan dengan setiap jualan, menerusi pautan unik bagi produk kedai dalam talian mereka yang dipromosikan pada laman media sosial mereka sendiri.

Usahawan yang berminat untuk menyertai Pertandingan ‘Gayamu, Caramu’, boleh melayari laman web https://www.sellwithlazada.com.my/thinking-of-starting-a-fashion-business-join-gayamu-caramu-today/– BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas