Berita

Pertandingan ditunda hujung tahun

- Diterbit 28 Jun 2019 1:22 AM MYT

Penganjur Formula Satu (F1) Powerboat ketandusan dana

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PUTRAJAYA – Pertandingan Formula Satu (F1) Powerboat yang ikendalikan sepenuhnya oleh syarikat F1 Powerboat Asia Sdn. Bhd. yang sepatutnya diadakan Julai ini terpaksa ditunda berikutan menghadapi masalah kekurangan dana.

Mengulas tentang perkara itu, Pengurus Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussein berkata, dia difahamkan oleh pihak penganjur bahawa mereka masih dalam usaha mencari dana bagi merealisasikan acara berprestij tersebut.

Katanya, sukan yang dijangka berlangsung di perairan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan itu juga masih tidak mempunyai tarikh tetap.

“Program ini sepenuhnya dikendalikan oleh syarikat tersebut dan pihak perbadanan hanya terlibat membantu mereka dari segi memberi kebenaran menggunakan fasiliti selain mengurus koordinasi sahaja.

“Kami juga difahamkan selain masalah tersebut, mereka juga berdepan dengan kekangan masa kerana tempoh menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Labuan yang berlangsung pada Mei lalu agak singkat. Untuk itu, mereka minta kita tunda,” ujarnya kepada Wilayahku.

Walau bagaimanapun menurut Amir lagi, acara tersebut tetap akan dilangsungkan selewat-lewatnya penghujung tahun ini, namun penganjurannya bergantung pada keadaan semasa.

“Kita memahami masalah yang mereka hadapi dan Insya-Allah jika tiada aral melintang ia tetap akan dilaksanakan. Namun yang pasti, jika dijadualkan pada tahun ini, ia perlu dilakukan sebelum musim tengkujuh,” jelasnya.

Pun begitu, Amir tidak menolak kemungkinan jika program tersebut ditangguhkan ke tahun hadapan dan diadakan bersama Labuan International Sea Challenge 2020 disebabkan faktor cuaca.

“Kita juga sebenarnya berdepan dengan jadual yang agak padat di mana terdapat beberapa program besar lain yang bakal berlangsung di Labuan sehingga penghujung tahun ini. Jadi kita perlu menumpukan perhatian lebih terhadap itu.

“Paling hampir, pada awal September ini akan berlangsung Festival Art Borneo di Ujana Kewangan, Labuan. Ia merupakan satu program seni dan budaya yang besar melibatkan seluruh Labuan dan juga Kalimantan,” ujarnya.

Sebelum ini, Wilayahku melaporkan acara F1 Powerboat dijangka menarik lebih 3,000 pelancong luar negara dengan lebih 15 buah pasukan powerboat dari luar negara akan turut serta antaranya Dubai, Amerika Syarikat, Korea, Jepun dan sebagainya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas