Berita

Maut pertama denggi di Putrajaya

- Diterbit 28 Jun 2019 1:27 AM MYT

Struktur bangunan PPAM Pudina jadi sarang pembiakan aedes

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Tidak lekang daripada masalah struktur binaan yang membahayakan, kini penduduk Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Pudina di sini diserang pula dengan virus denggi sehingga mengakibatkan satu kematian.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPAM Pudina, Azhar Hassan berkata, kes denggi di kawasan perumahannya di Presint 17 telah merekodkan 45 kes dengan satu kematian sejak minggu pertama bulan Mei sehingga 21 Jun lalu.

“Kita merupakan kawasan ketiga yang mencatatkan kes denggi tertinggi selepas Presint 14 dan Presint 18. Tetapi, perumahan di sini telah mencatatkan satu kematian.

“Jadi, penduduk laksanakan program gotong royong bagi membersihkan kawasan sekitar dan membasmi pembiakan nyamuk aedes,” katanya kepada Wilayahku selepas Program Gotong Royong Perdana PPAM Pudina baru-baru ini.

Menurut Azhar, sepanjang program tersebut, pihaknya mendapati punca berlakunya kes denggi adalah disebabkan beberapa takungan air yang berlaku akibat daripada masalah binaan perumahan.

Jelasnya, terdapat banyak hurungan nyamuk khususnya di tingkat 1 iaitu lokasi berdekatan atap tambahan (awning) blok di setiap bangunan selain di unjuran kawasan koridor serta tempat parking bawah tanah.

Katanya, rumah-rumah kosong juga menjadi punca pembiakan nyamuk kerana tingkap di beberapa unit terlibat dibiarkan terbuka.

“Banyak rumah kosong yang diperiksa mempunyai jentik-jentik di dalam mangkuk tandas, salur air tandas dan juga di perangkap sampah di kawasan luar dapur (tempat biasa letak mesin basuh),” ujarnya.

Sehubungan itu, Azhar meminta wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) mengambil maklum perkara tersebut dan sentiasa memantau kawasan utama pembiakan di samping bekerjasama dengan penduduk dalam program gotong royong.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas