Berita

Mohamed Naseer warisi bakat ayah

MOHAMED-NASEER
MOHAMED-NASEER
- Diterbit 9 Ogos 2019 12:18 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

PENGLIBATAN dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah disemai oleh bapanya dari kecil menyebabkan dirinya menjiwai kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawan.

Ini mendorong Mohamed Naseer Mohamed, 39, tidak akan melepaskan peluang untuk menabur bakti dalam apa jua program yang bersangkutan dengan kebajikan.

“Pendedahan dalam pertubuhan belia bermula semasa saya berusia 13 tahun. Ketika itu ayah sedang dalam proses menubuhkan sebuah persatuan belia.

“Akhirnya, penat-lelah bapa ter­bayar apabila beliau berjaya menubuhkan Persatuan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA),” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Penubuhan GEPIMA menjadi titik permulaan penglibatan Mohamas Naseer dalam kegiatan pertubuhan belia.

Menurut Mohamed Naseer, peng­libatannya selama lebih 23 tahun dalam GEPIMA menjadikannya lebih matang selain mengajar erti tanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan.

“Saya dapat menggilap bakat dalam kepimpinan dan kini telah di lantik sebagai Pengerusi GEPIMA Kuala Lumpur,” katanya.

Kata Mohamed Naseer lagi, pembabitannya dalam GEPIMA telah mencorakkan kehidupannya sebagai pemimpin sehingga berjaya mendapat pengiktirafan.

“Pada 20 Jun 2010 saya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Johan Kategori Kesukarelaan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Belia 2010 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini lagi, melalui pertubuhan ini juga, beliau berpeluang ramai orang dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Selain itu, ia sudah pasti membantu meningkatkan keyakinan dan meneroka lebih banyak peluang perniagaan untuk jangka masa panjang.

“Pertubuhan ini juga, menjadi satu landasan kepada saya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya .

Kata Mohamed Naseer lagi, melalui aktiviti dalam pertubuhan belia, beliau berpeluang menyertai Asean Youth Program Malaysia – Cambodia.

“Melalui program itu, saya dapat melihat betapa susahnya masyarakat dan belia di sana hidup dalam keadaan ke­sengsaraan berbanding Malaysia.

“Melalui penyertaan itu, saya mendapat pengajaran bahawa setiap belia harus membina negara bersama-sama dan sentiasa bersyukur kerana hidup di dalam negara yang aman dan makmur,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas