Berita

Perkhidmatan Komuter 24 jam bermula 7 Februari

- Diterbit 30 Januari 2020 8:55 AM MYT

KUALA LUMPUR – KTM Komuter akan beroperasi selama 24 jam tanpa henti bermula pukul 5.45 pagi, 7 Februari ini sempena sambbutan Thaipusam pada 8 Februari.

Ketua Kawalan Operasinya, Mohd. Zain Mat Taha berkata, perkhidmatan tanpa henti itu akan berlangsung selama 4 hari 3 malam di laluan Batu Caves-Seremban-Batu Caves dan laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral-Pelabuhan Klang.

“Pertambahan Komuter pula adalah bagi laluan Seremban–Batu Caves (dari 9.55 malam sehingga 4.44 pagi), Batu Caves–Seremban (dari 10.50 malam sehingga 4.45 pagi), Pelabuhan Klang–KL Sentral (dari 9.45 malam sehingga 4.10 pagi) dan KL Sentral–Pelabuhan Klang (dari 11.31 malam sehingga pukul 5.55 pagi).

“Kekerapan perkhidmatan adalah bagi setiap 30 minit,” katanya ketika berucap dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zain, KTMB mula menyediakan perkhidmatan kereta api bagi kemudahan penganut Hindu menyambut Thaipusam adalah sejak lebih 55 tahun lalu yang mana pada setiap tahun, puluhan ribu penumpang menggunakan perkhidmatan Komuter.

Malah, ujarnya, pada tahun lepas, lebih 50,000 orang menggunakannya dalam tempoh sambutan Thaipusam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 310 perkhidmatan Komuter tambahan disediakan tahun ini, sekali gus menjadikan sejumlah 832 perkhidmatan semuanya bagi tempoh 4 hari 3
malam itu.

“Bagaimanapun, tiada perkhidmatan tren tambahan di laluan Tanjung Malim sehingga Segambut dan sebaliknya.

“Manakala, sebanyak 24 buah stesen akan dibuka selama 24 jam. Ini melibatkan stesen-stesen di Batu Caves, Taman Wahyu, Batu Kentonmen, Sentul, Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur Sentral, Seremban, Nilai, Kajang, Bandar Tasik Selatan, Petaling, Seri Setia, Batu Tiga, Shah Alam, Klang dan Pelabuhan Klang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zain memberitahu, sepanjang operasi ini, seramai 350 orang kakitangan KTM akan bertugas bagi memastikan kelancaran semua perkhidmatan komuter dan pergerakan penumpang.

Jelasnya, KTM menyasarkan seramai 60,000 orang akan menggunakan perkhidmatan Komuter pada tahun ini dengan peningkatan 10,000 orang berbanding tahun lepas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas