Berita

Inovasi nyamuk Wolbachia dilaksana di Presint 14, Putrajaya

AMINUDDIN (kiri) mendengar taklimat tentang penggunaan bekas nyamuk Wolbachia
- Diterbit 30 Januari 2020 8:40 AM MYT

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) baru-baru ini melaksanakan Projek Wolbachia
di Blok C, Apartment Sub 14-7, Presint 14 di sini bagi mengekang virus denggi daripada terus meningkat.

Projek dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya itu merupakan
salah satu inovasi dalam operasi kawalan denggi dengan pelaksanaan projek pelepasan telur nyamuk Aedes Aegypti berwolbachia.

Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, inovasi tersebut seolah-olah nyamuk berperang dengan nyamuk kerana teknolgi foging dan sebagainya tidak digunakan.

“Kita tahu pada 2018, ada lebih 200 kes tetapi pada 2019, jumlah ini melonjak kepada lebih 1,068 kes. Jadi ia merupakan satu signal kepada kita untuk melaksanakan program-program yang lebih proaktif walaupun telah banyak aktiviti gotong-royong dan pembersihan dilakukan.

“Inovasi ini agak mudah dan menarik. Apa yang kita harapkan adalah penduduk di kawasan sekitar bersama-sama membantu dan tidak musnahkan atau ganggu bekas-bekas nyamuk Wolbachia ini,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Aminuddin, penduduk juga diseru supaya terus menjaga kebersihan sekali gus memastikan tempat-tempat yang berpotensi membiak nyamuk dimusnahkan agar ia seiring dengan program berinovasi berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, impak pelaksanaannya dapat dilihat dalam tempoh lima hingga enam bulan lagi dan perubahan akan sentiasa dimaklumkan.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan  Putrajaya, Dr. Zainal Abidin Abu Bakar berkata, Wolbachia adalah sejenis bakteria.

“Seperti sedia maklum, 60 hingga 70 peratus daripada serangga mempunyai bakteria ini, ia tidak berbahaya kepada manusia, ternakan mahu pun persekitaran.

“Ia akan mengawan dengan nyamuk aedes liar dan hasilnya akan menjadi nyamuk berwolbachia,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas