Berita

Terjunan Base Jump antara 11 acara menarik di Putrajaya, No. 5 paling ditunggu-tunggu

||||PERTANDINGAN memancing akan diadakan di Tasik Putrajaya dan di Labuan.|PERTANDINGAN memancing akan diadakan di Tasik Putrajaya dan di Labuan.|
- Diterbit 30 Januari 2020 9:36 AM MYT

AKSI ekstrem Putrajaya Base Jump menjadi antara 11 acara menarik bakal ditampilkan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020 di pusat pentadbiran Persekutuan ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, buat julung-julung kalinya, seramai 32 penerjun profesional dari sembilan buah negara akan melakukan aksi terjunan dari ketinggian 40 tingkat bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bermula pukul 8 pagi hingga 7 petang pada 1 dan 2 Februari ini.

”Terjunan itu bakal dilakukan penerjun Malaysia, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Estonia, Poland, United Kingdom, Rusia, Indonesia dan Jepun.

”Ini mempunyai serampang dua mata iaitu sempena Hari Wilayah Persekutuan, Jubli Perak Putrajaya dan Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya kepada Wilayahku.

Aminuddin berkata, orang ramai diharap datang ke Putrajaya bagi mengambil kesempatan untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan selain menikmati keindahan di kawasan tasik dan taman-taman di sini.

Berikut adalah aktiviti-aktiviti yang disediakan kepada orang ramai di Putrajaya sempena SHWP 2020;

1. KHUTBAH KHAS HARI WILAYAH PERSEKUTUAN 2020

Khutbah Khas sempena SHWP 2020 akan dibacakan khatib pada Jumaat ini (31 Januari) sebelum solat Jumaat di seluruh masjid dan surau Jumaat.

2. PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Wilayah Persekutuan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya pada 1 Februari ini. Ia bagi memberikan pengiktirafan ke atas individu yang menyumbang kepada kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan Wilayah Persekutuan.

3. PRIMA DAKWAH WILAYAHKU

Program Bacaan Yassin dan Majlis doa Selamat akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 3 Februari ini. Peminat-peminat penceramah yang terkenal dengan syarahan yang santai dan penuh humor, Ustaz Abdul Somad jangan lepaskan peluang kerana beliau akan tampil pada proram ceramah perdana dengan topik “Pembangunan Masyarakat Sejahtera: Mencontohi Nabi Muhammad SAW dalam membangunkan masyarakat sejahtera Mengikut al-Quran dan Sunnah”

4. PUTRAJAYA WALL CLIMBING CHALLENGE

Anak-anak muda yang minat kepada sukan lasak dan esktrem boleh menguji ketangkasan anda pada acara Putrajaya Wall Climbing Challenge di Taman Cabaran pada 8-9 Februari ini. Acara ini melibatkan kegiatan sukan mendaki serta aktiviti gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti selain mempromosikan kemudahan-kemudahan sukan yang tersedia di Putrajaya. Turut diadakan Kelas Asas dan Teori Sukan Mendaki Wall Climbing

5. PERTANDINGAN MEMANCING PUTRAJAYA 2020

Memancing merupakan aktiviti yang sangat popular. Jadi mana-mana pertandingan memancing mesti jadi buruan kaki-kaki pancing. Pertandingan Memancing Putrajaya yang memasuki edisi ke-20 bakal diadakan di Persisiran Tasik Putrajaya 2,3 dan 4 pada 15 Februari 2020 bermula seawal pukul 6 pagi hingga 2 petang.

Sebab apa kena ambil peluang? Ini kerana Tasik Putrajaya hanya dibuka setahun sekali untuk orang awam memancing. Hari lain tidak boleh…nanti kena kompaun. Tahun ini Perbadanan Putrajaya menyediakan pelbagai hadiah lumayan dengan johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, kedua (RM5,000) dan ketiga (RM3,000). Hadiah turut disediakan sampai kepada pemenang ke-100. Anggota keluarga yang turut hadir boleh sertai acara sampingan seperti Pertandingan Memasak Ikan Air Tawar, Pertandingan Mewarna (7 – 12 tahun) dan Memancing Udang Untuk Kanak-Kanak (bawah 12 tahun).

6. MAJLIS PERASMIAN KIOSK@11

Majlis Perasmian Kiosk@11 akan berlangsung di kawasan berhadapan PRIMA Palma pada 20 Februari ini. Sebanyak 12 kiosk dibangunkan untuk memberi peluang dan ruang perniagaan untuk komuniti Putrajaya. Pada hari tersebut pelbagai jualan aneka makanan dan minuman diadakan.

7. PUTRAJAYA WIND ORCHESTRA COMPETITION

Putrajaya Wind Orchestra Competition akan diadakan di Auditorium Cempaka Sari pada 22-23 Februari ini. Program ini merupakan penganjuran kali kedua di Putrajaya.

Program inisiatif Perbadanan Putrajaya ini memberi peluang dan pendedahan kepada anak-anak muda menimba pengalaman dalam bentuk pertandingan yang dianjurkan. Hadiah pertama begitu lumayan iaitu AS$5,000 (kategori terbuka) manakala johan kategori sekolah (AS$3,000).

8. KENDURI RAKYAT DAN KARNIVAL SUKAN WILAYAHKU

Kenduri Rakyat dan Karnival Sukan Wilayahku akan berlangsung di Kompleks Futsal P18 pada 23 Februari ini bermula pukul 7 pagi hingga 3 petang.
Program ini merupakan acara kemuncak bersempena SHWP 2020 yang bertujuan menanam semangat kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan warga Putrajaya.
Antara acara sukan yang dipertandingkan seperti Langkah ceria, futsal, bola jaring, bola keranjang, Muay Thai dan e-games yang melibatkan penyertaan komuniti Wilayah Persekutuan.

9. PUTRAJAYA PARK’S DAY

Program Putrajaya Park’s Day akan berlangsung di Taman Wawasan Putrajaya pada 23 Februari ini. Acara bermula dengan Flag off-Program larian She Run. Antara program lain ialah Scavenger Hunt, Petting Zoo, Kejohanan Memanah Tradisional peringkat komuniti, branch walk, fun climbing dan lain-lain.

10. JOM BAYAR SAMAN

Orang ramai perlu mengambil peluang keemasan ini untuk dapatkan diskaun bayaran saman pada program Jom Bayar Kompaun/Saman Perbadanan Putrajaya pada 27 Januari hingga 29 Februari 2020. Pemberian diskaun dengan bayaran sebanyak RM30 (kes kompaun) manakala RM50 (kes mahkamah).
Cara Pembayaran:
1. Kaunter pembayaran Pusat Khidmat Pelanggan PPj
2. Pembayaran secara atas talian (online) iaitu Maybank2u atau CIMBClicks atau Bank Islam
3. Melalui laman web Perbadanan Putrajaya (https://ppj.gov.my/)
*tertakluk terma dan syarat: Untuk kompaun/saman lalu lintas yang dikeluarkan Perbadanan Putrajaya SAHAJA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas