Artikel

Perkasa pendigitalan pendidikan demi mendepani norma baharu

KPT mengambil pelbagai langkah bagi menyesuaikan modul pembelajaran kaedah penilaian dengan persekitaran digital. KPT mengambil pelbagai langkah bagi menyesuaikan modul pembelajaran
- Diterbit 11 Oktober 2021 10:40 AM MYT

TAHUN ini merupakan tahun sambutan yang ketiga Hari Akademia Kebangsaan diraikan pada setiap
5 Oktober.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk menghargai jasa dan sumbangan para ahli akademik di peringkat pengajian tinggi.

Ini meliputi tenaga pengajar di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Kolej Matrikulasi serta Institut Latihan dan Kemahiran (ILK).

Tradisi pengajian tinggi di Eropah sejak abad ke-19 mengangkat universiti atau peringkat pengajian tinggi sebagai gapura yang memartabat dan mengembangkan pengetahuan untuk kemaslahatan manusia.

Alexander Von Humboldt, seorang ahli falsafah dan geografi dari Prussia, juga pengasas University of Berlin pada tahun 1801 menggagaskan idea ‘furtherance of conversation of knowledge through research and teaching’ bagi menjelaskan peranan fundamental universiti pada era tersebut.

Menjelang abad ke-20, peranan universiti sebagai penyuluh pembangunan dan kehidupan sesebuah ketamadunan kemudiannya terus berkembang pesat.

Dalam hal ini, John Henry Newman, seorang ahli sejarah dan teologi tersohor dari Oxford, dalam karyanya ‘The Idea of University’ telah merujuk universiti sebagai ‘School of Universal Learning’.

Pentakrifan ini menjelaskan peranan unversiti sebagai pusat keilmuan dan kesarjanaan dalam apa jua bidang dan sentiasa terkehadapan dalam memandu masyarakat ke arah kebenaran.

Dalam konteks sektor pendidikan tinggi pada masa ini di negara kita, IPT seharusnya menjadi tanda aras ketamadunan dan ketinggian intelektual masyarakat.

Indikator bagi IPT yang terbaik adalah IPT yang mampu menghasilkan impak bukan sahaja terhadap warganya sahaja, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat secara umum.

Impak yang dimaksudkan ini adalah merujuk kepada memberikan penyelesaian terhadap isu dan cabaran yang wujud dalam kalangan masyarakat, sama ada yang bersifat struktural mahupun isu-isu semasa yang memerlukan penyelesaian segera.

Tuntasnya, IPT perlu sentiasa tampil menawarkan idea-idea baharu yang berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.

Seperti kata-kata Profesor Marek Kwiek dari Center for Public Policy Studies, Poznan University dalam artikelnya yang bertajuk ‘The Classical German Idea of The University Revisited’, universiti, atau dalam konteks wacana kita, IPT pada hari ini dilihat sebagai institusi yang menerajui perubahan di mana hubungannya dengan dunia industri lebih erat terjalin.

The roles of the university have been changing rapidly from teaching centre for the generation and preservation of knowledge, to a corporate entity which acts as an economic and innovative institution.

Sangat jelas, bahawa amanah yang digalas oleh sektor pengajian tinggi adalah sangat besar.

Jadinya, adalah menjadi tanggungjawab bagi tenaga pengajar di IPT seluruh negara, termasuk Kolej Matrikulasi serta ILK, menampilkan peranan yang terbaik agar amanah yang digalas untuk mencorakkan legasi pewaris masa hadapan negara dapat ditunaikan sebaiknya.

Frasa ‘Akademia Diperkasa, Digitalisasi Dibudaya’ yang diangkat menjadi tema Sambutan Hari Akademia Kebangsaan pada tahun ini ternyata tepat pada masanya.

KONSEP virtual learning melalui program seperti Massive Open Online Courses atau MOOCs, Open Educational Resources dan Flipped Classroom Online muncul sebagai sebahagian daripada inovasi disruptif.

Tema ini memberikan penekanan kepada usaha memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara dalam mendepani persekitaran norma baharu kehidupan.

Dalam erti kata lain, tempoh krisis dan pemulihan yang berpanjangan memerlukan kita untuk mencari solusi yang lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan kelestarian institusi pendidikan tinggi terpelihara.

Apa yang pasti, sistem pendidikan kita kini sedang mengalami transformasi. Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bukan lagi berasaskan dimensi fizikal atau place-based semata-mata.

Tetapi, dihubungkan dengan pantas melalui rangkaian perkhidmatan pendidikan, sama ada di peringkat nasional ataupun global.

Malah, konsep virtual learning melalui platform seperti Massive Open Online Courses atau MOOCs, Open Educational Resources dan Flipped Classroom Online telah secara drastik muncul sebagai sebahagian daripada inovasi disruptif.

Dalam hal ini saya percaya kedua-dua konsep PdP konvensional dan kontemporari perlu digabung jalinkan dalam menghasilkan sistem pendidikan yang memudahkan kedua-dua pihak, iaitu pengajar
dan pelajar.

Perkara ini pernah disuarakan oleh Alan Binder, seorang profesor ekonomi dari Princeton University yang menyatakan bahawa sistem pendidikan masa hadapan akan bersifat ‘just-in-time’ berbanding ‘just-incase’.

Jadinya, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengambil pelbagai langkah bagi menyesuaikan modul pembelajaran kaedah penilaian yang lazim dengan persekitaran digital.

Bukan hanya tertumpu kepada pemerkasaan aspek infrastruktur seperti menaik taraf Malaysian Research and Education Network (MYREN), Kementerian juga turut beriltizam untuk memastikan kapasiti serta kompetensi tenaga pengajar ditingkatkan, khususnya dalam mengendalikan teknologi.

Ini penting agar matlamat pendigitalan pendidikan tinggi negara dapat dicapai secara tuntas.

Ucapan setulus penghargaan saya rakamkan kepada semua pensyarah, tenaga pengajar dan ahli akademik di seluruh negara atas segala jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan, khususnya dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.

Marilah kita bersama-sama sebagai satu Keluarga Malaysia menggerakkan usaha membina inovasi pembelajaran dan pendigitalan sistem pendidikan serta bersedia mendepani cabaran digitalisasi dalam norma baharu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas