Artikel

Kemasukan pelajar vaksin lengkap ke kampus secara berperingkat

Kemasukan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) secara fizikal bagi sesi akademik tahun 2021/2022. Pelajar yang pulang ke kampus perlu lengkap proses vaksinasi.
- Diterbit 27 September 2021 4:49 AM MYT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) mengambil keputusan membuka semula institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kemasukan para pelajar dilakukan secara berperingkat bermula pada 15 Oktober ini setelah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sepanjang tempoh pandemik, aspek keselamatan dalam pengoperasian IPT amat dititikberatkan, dengan berpandukan nasihat dan arahan MKN, juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dalam hal ini, sebahagian besar daripada keseluruhan 1.2 juta orang pelajar di IPT di seluruh negara telah menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian melebihi tiga (3) semester berturut-turut.

“Ini memberikan cabaran yang besar kepada warga IPT terutamanya dari sudut psikologi dan ketahanan mental dalam menjalani proses pendidikan dalam negara.

“Justeru, dalam usaha untuk memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan jua, sukacita saya mengumumkan bahawa KPT akan melaksanakan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat seperti mana yang diluluskan oleh MKN.

“Proses ini akan dijalankan secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021. Kemasukan pelajar yang lengkap divaksin ke IPT ini melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa PPN dimana keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan,” katanya ketika mengumumkan pengoperasian IPT menerusi Facebook live baru-baru ini.

Noraini juga menjelaskan keputusan ini dibuat setelah mengambil kira input sesi libat urus bersama-sama MKN dan KKM; pengurusan IPT yang merangkumi Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, dan wakil-wakil persatuan IPTS; serta Majlis Perwakilan Pelajar dan wakil Kesatuan/Persatuan Pelajar.

Kemasukan pelajar secara berperingkat ini juga akan menjadikan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagai garis panduan ketika berada di kampus.

“Proses kemasukan pelajar ini akan menggunakan SOP Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT.

“Keberadaan warga IPT yang telah lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat serta mewujudkan persekitaran Fasa 4 PPN dalam kampus.

“Jadinya, SOP yang ketat perlu diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk.

“Saya ingin maklumkan di sini bahawa hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja yang dibenarkan masuk ke kampus.

“Perkara ini adalah tertakluk kepada kapasiti IPT, dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. Ini merupakan satu langkah bagi membentuk persekitaran yang selamat dan herd immunity di kampus.

“Bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, mereka diminta untuk menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Noraini juga mengumumkan kemasukan pelajar antarabangsa juga adalah dibenarkan melalui tiga kategori berikut.

“Pertama, pelajar warganegara United Kingdom (UK) yang sebelum ini kemasukannya disekat.

“Kedua, pelajar antarabangsa yang mengikuti program-program Mobiliti dan Edutourism.

“Ketiga, tanggungan yang sah bagi pelajar antarabangsa yang berhasrat membawa keluarga bersama ke negara ini,” ujarnya lagi.
Bagi pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin, mereka perlu mendaftar dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ujian Swab RT-PCR COVID-19 perlu dijalankan tiga hari sebelum masuk ke Malaysia. Setibanya di Malaysia, pelajar akan menjalani saringan kesihatan dan kuarantin di lokasi yang ditetapkan.

Kemasukan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) secara fizikal bagi sesi akademik tahun 2021/2022

Kriteria pelajar yang diberi keutamaan kembali ke kampus secara fizikal:
(i) pelajar berkeperluan yang telah lengkap vaksinasi.
(ii) pelajar yang telah lengkap proses vaksinasi dan melepasi tempoh keberkesanan.

Pelajar berkeperluan yang masih belum lengkap vaksinasi dinasihatkan supaya segera melengkapkan proses vaksinasi melalui kemudahan walk-in yang disediakan PPV. Bagi pelajar yang tidak mengambil vaksin atas faktor kesihatan, pelajar perlu menghubungi pihak IPT untuk tindakan penyelarasan.

Hanya staf (akademik dan bukan akademik) yang telah lengkap vaksinasi dan memenuhi tempoh keberkesanan selepas divaksinasi sahaja yang dibenarkan hadir ke kampus untuk bertugas.

Hanya pemilik/petugas kafeteria pemilik/petugas kafeteria/kedai runcit/bank/farmasi di kampus yang lengkap proses vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke kampus.

Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu:
(i) Pelajar di kampus menjalani PdP secara hibrid
(ii) Pelajar yang masih berada di lokaliti masing-masing meneruskan PdP secara dalam talian.

IPT BOLEH memilih untuk terus laksanakan PdP sepenuhnya secara dalam talian berdasarkan kesesuaian program.

Aktiviti makmal atau aktiviti penyelidikan/bengkel dibenarkan dengan syarat kapasiti penggunaan makmal-makmal/kapasiti ruangan adalah mengikut SOP yang ditetapkan.

Pelajar diberi pilihan untuk meneruskan PdP secara dalam talian di rumah/lokaliti masing- masing bagi kursus/program yang dijalankan secara dalam talian.

Pergerakan pelajar yang dibenarkan untuk kembali ke kampus mempunyai tiga kaedah iaitu:
(i) menggunakan kenderaan sendiri
(ii) ibu bapa/penjaga menghantar sendiri pelajar dengan syarat ibu bapa/penjaga telah lengkap proses vaksinasi
(iii) perkhidmatan penerbangan.

Pelajar yang membawa kenderaan sendiri dibenarkan berkongsi berdasarkan kapasiti kenderaan dengan memastikan pelajar dan penumpang telah lengkap proses vaksinasi.

Pelajar hanya menggunakan surat kebenaran kembali ke kampus yang disediakan pihak IPT KECUALI pergerakan MASUK KE Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang perlu mendapatkan surat kebenaran rentas negeri dari pihak PDRM juga sebagai dokumen iringan.

Segala kos yang terlibat dengan pergerakan pelajar kembali ke kampus adalah di bawah tanggungan pelajar sendiri.

Pelajar yang memasuki Sarawak yang telah lengkap mendapat dos vaksin serta melepasi tempoh matang vaksinasi dikecualikan daripada menjalani kuarantin, Sabah dan Labuan perlu menjalani ujian swab RT-PCR dalam tempoh tiga hari sebelum pergerakan dan tertakluk kepada arahan semasa kerajaan negeri.

Segala kos menjalani ujian swab RT-PCR adalah di bawah tanggungan Kementerian Kesihatan (KKM). Pelajar perlu menjalani ujian swab di klinik kesihatan di bawah seliaan KKM sahaja.

KPT menggalakkan pihak IPT untuk menyediakan kit ujian kendiri COVID-19 semasa proses kemasukan pelajar ke IPT.

Pelajar yang memasuki Sarawak adalah diwajibkan menjalani 14 hari kuarantin di IPT masing-masing. Pelajar lengkap proses vaksinasi yang memasuki Sabah adalah diwajibkan menjalani pemantauan kendiri melalui aplikasi MySejahtera. Pelajar yang memasuki Wilayah Persekutuan Labuan adalah diwajibkan menjalani kuarantin kendiri selama 5 hari di IPT masing-masing dan menjalani ujian swab RTK-Ag pada hari ke-4 .

Kos kuarantin bagi pelajar yang pulang ke Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin adalah ditanggung oleh kerajaan.

Semua pelajar yang berdaftar dan berstatus aktif/pelajar baharu yang menerima tawaran melanjutkan pengajian di IPT yang masih belum menerima sebarang temujanji penerimaan vaksin melalui aplikasi MySejahtera layak untuk menerima vaksin secara walk-in di PPV terbuka. Pelajar baharu perlu membawa bersama surat tawaran dan kad pengenalan manakala pelajar IPT sedia ada perlu membawa bersama kad pelajar dan kad pengenalan masing-masing semasa hadir ke PPV terbuka bagi maksud penerimaan vaksin secara walk-in. LAIN-LAIN PERKARA

Pelajar luar kampus yang telah lengkap proses vaksinasi perlu menjalani saringan kesihatan dan menunjukkan Sijil Digital Vaksinasi semasa memasuki kampus.

Pelajar wajib menggunakan aplikasi MySejahtera semasa pulang ke kampus untuk tujuan contact tracing pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Walau bagaimanapun, pelajar juga perlu mematuhi keperluan penggunaan aplikasi selain MySejahtera yang diwajibkan oleh IPT masing-masing.

PELAJAR ANTARABANGSA

Kemasukan pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin ke Malaysia adalah dibenarkan bagi kategori berikut:
(i) Semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu dari negara yang disekat
(ii) Pelajar antarabangsa warganegara United Kingdom (UK)
(iii) Pelajar program Mobiliti dan Edutourism.

Semua tanggungan kepada pelajar antarabangsa yang sah dari negara yang disekat adalah dibenarkan masuk ke Malaysia.

Semua pelajar antarabangsa serta tanggungan perlu mengemukakan permohonan kebenaran masuk ke Malaysia untuk kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia melalui Education Malaysia Global Services (EMGS).

Langkah-langkah yang perlu diambil pelajar antarabangsa dan tanggungan sebelum pergerakan kembali ke Malaysia
(i) Pelajar antarabangsa dan tanggungan hendaklah telah lengkap vaksin COVID-19.
(ii) Kemukakan permohonan kebenaran kemasukan (MyTravelPass melalui sistem Education Malaysia Global Services (EMGS) di pautan: www. educationmalaysia.gov.my.
(iii) Terima surat kelulusan kemasukan yang telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Imigresen (KPI).
(iv) Menjalani ujian pengesanan RT-PCR COVID-19 72 jam sebelum berlepas ke Malaysia dengan keputusan negatif.
(v) Memuat turun aplikasi MySejahtera di telefon pintar dan lengkapkan semua maklumat yang diperlukan tiga (3) hari sebelum ketibaan.
(vi) Membuat bayaran caj penuh kuarantin dan ujian pengesanan COVID-19 secara dalam talian (online) melalui sistem MySafeTravel/Aplikasi MyQr oleh MyEG di pautan www.myeg.gov.my dan mengemukakan slip pembayaran di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
(vii) Mempamerkan surat kebenaran kemasukan semasa mendaftar masuk.

Maklumat-maklumat yang diperlukan sebelum mengemukakan permohonan kemasukan? Pelajar dan tanggungan adalah dikehendak untuk mengemukakan maklumat– maklumat seperti berikut:
(i) Nama Penuh
(ii) Warganegara
(iii) Nombor Pasport
(iv) Institusi Pendidikan Tinggi
(v) Maklumat Pengajian
(vi) Nombor Telefon
(vii) Emel
(viii) Lokasi Keberadaan Pelajar (negara semasa)
(ix) Tarikh dan Maklumat Penerbangan
(x) Borang persetujuan untuk menanggung kos
rawatan dan lain-lain kos berkaitan sekiranya positif COVID-19;
(xi) Sijil vaksinasi
(xii) Lain-lain maklumat berkaitan yang diperlukan dari semasa ke semasa.

Semua permohonan kemasukan ke Malaysia perlu mendapat pengesahan KPT melalui EMGS.

Pelajar dan tanggungan wajib membuat ujian pengesanan RT- PCR COVID-19, 72 jam dengan keputusan negatif sebelum berlepas ke Malaysia dan laporan ujian tersebut perlu ditunjukkan kepada pegawai bertugas di PMA semasa ketibaan. Keputusan Ujian Saringan COVID-19 yang melebihi 72 jam sebelum tarikh berlepas tidak sah. Pelajar diwajibkan untuk membuat ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) dalam masa 72 sebelum berlepas ke Malaysia.

Semua pelajar dari luar negara dikehendaki menjalani kuarantin wajib di Stesen Kuarantin yang telah ditetapkan, iaitu selama 14 hari. Tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama 7 hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko yang telah dijalankan pada hari ke14. Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di stesen kuarantin yang sama.

Semua implikasi kos Ujian Saringan COVID-19 semasa urusan kemasukan ke Malaysia dan sehingga tamat tempoh kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar. Stesen Kuarantin akan ditentukan pihak NADMA.

Pelajar perlu memastikan perkara berikut:
a. Pelajar menjalani ujian saringan seterusnya:
(i) Pelajar yang menjalani tempoh kuarantin selama 14
hari akan mengambil ujian saringan RT-PCR COVID-19 pada hari ke-10 tempoh kuarantin
(ii) Pelajar yang dilanjutkan tempoh kuarantin selama 7 hari lagi akan menjalani ujian saringan RT-PCR COVID-19 pada hari ke-18 sekiranya perlu.
b. Pelajar perlu membuat penilaian kendiri setiap hari melalui Home Assessment Tool dalam aplikasi MySejahtera selama tempoh kuarantin dari tarikh ketibaan.

IPT perlu memastikan perkara berikut:
a. IPT perlu mengenal pasti lokasi Stesen Kuarantin pelajar masing-masing melalui EMGS.
b. IPT perlu membuat perancangan yang teliti bagi memastikan urusan pengambilan pelajar dari Stesen Kuarantin ke IPT masing-masing berjalan dengan lancar dan teratur.

Pelajar boleh dipertimbangkan permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman bergantung kepada kelulusan KKM. Penilaian risiko akan dibuat bagi setiap permohonan yang diterima. Penilaian risiko ini mengambil kira penilaian status vaksin, risiko kebolehjangkitan COVID-19 serta kesesuaian rumah atau tempat kediaman sebagai tempat kuarantin.

Permohonan Home Surveillance Order (HSO) perlu dihantar beberapa hari sebelum tarikh pelepasan kepada alamat e-mel [email protected] untuk kelulusan KKM.

Pelajar TIDAK DIBENARKAN untuk transit ke mana-mana destinasi dalam negara termasuk Labuan, Sabah dan Sarawak. Pelajar perlu menjalani kuarantin di PMA di mana pelajar tiba
sebelum meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju. Perjalanan
seterusnya adalah tertakluk kepada arahan pihak Kerajaan Negeri yang dituju. Walaubagaimanapun, bagi pelajar yang dibenarkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman Home Surveillance Order (HSO), dibenarkan untuk transit ke
mana-mana destinasi dalam negara, dalam tempoh masa 24 jam.

Pelajar perlu membuat pengesahan vaksinasi daripada KKM mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mendapatkan sijil digital vaksinasi. Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, sila hubungi:
(i) Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.
(ii) Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777 / 6949 /6623 / 6628.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas