KUALA LUMPUR – Moratorium secara automatik selama enam bulan bakal diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu.

Ia merupakan satu lagi langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan beban peniaga dan isi rumah yang mungkin terkesan dengan wabak Covid-19.

Bank pusat itu telah menulis kepada bank komersial bagi memaklumkan kepada mereka tentang langkah baharu yang akan dilakukan bagi tempoh enam bulan.

Bagaimanapun, pembayaran semula pinjaman dan interest yang berlaku sepanjang tempoh enam bulan itu tidak akan dihapuskan, demikian lapor The Edge. 

Dalam satu dokumen yang dilihat The Edge, BNM menyatakan, bagi memudahkan aliran tunai PKS dan individu yang bakal terkesan dengan Covid-19, institusi bank akan memberikan moratorium enam bulan bagi semua pinjaman, pembayaran semula kewangan, bayaran pokok dan interest, kecuali kad kredit bagi pelanggan bagi tempoh enam bulan mulai 1 April ini.

“Moratorium automatik itu dibolehkan bagi pinjaman/pembiayaan yang tidak mempunyai tunggakan lebih 90 hari pada 1 April ini dan dalam nilai mata wang ringgit.

“Pihak bank perlu menyediakan maklumat tentang bagaimana penangguhan pinjaman atau pembayaran balik itu dikendalikan semasa tempoh moratorium itu dan pilihan kepada peminjam untuk meneruskan pembayaran selepas tempoh itu,” kata BNM dalam surat itu.

Jelasnya, perkara itu terutamanya apabila mereka menjangka masih menghadapi kesukaran untuk mematuhi jadual pembayaran semula.

Kata BNM, bagi baki tunggakan kad kredit, pihak bank boleh menawarkan pilihan kepada pelanggan untuk menukarnya kepada pembiayaan bagi tempoh tidak lebih tiga tahun dengan kadar keuntungan tidak lebih 13 peratus setahun.  – WILAYAHKU