Artikel

Kelas sosial dan sikap

GOLONGAN kelas rendah lebih terbuka pada pelakuan-pelakuan yang kurang sivik, kurang bertamadun dan sangat individualistik. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Januari 2023 2:30 AM MYT

APAKAH tanggapan pertama kita apabila berada dalam kawasan flat di sekitar Kuala Lumpur? Sekiranya tanpa pengalaman peribadi sebelumnya, kawasan berkenaan tentu tidak ada sesuatu yang tidak kena. Malah wajah banyak flat sudah jauh berubah berbanding era 1980-an dulu.

Kelihatan lebih moden sekalipun untuk golongan B40 dan kelompok yang lebih rendah kelas sosialnya. Tentu sekali sangat berbeza dengan rumah setinggan yang menjadi identiti Kuala Lumpur pada dekad 1980-an dan sebelumnya. Flat merupakan kawasan petempatan yang terancang dan moden.

Sekarang ini sudah banyak tidak menggunakan istilah flat. Diganti dengan nama Rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan juga banyak flat kos rendah oleh swasta. Kecuali PPR dan PPRT, ada flat kos rendah swasta tidak diuruskan dengan sempurna.

Antara flat yang terawal di Kuala Lumpur adalah Razak Mansion di Jalan Sungai Besi, di Jalan San Peng dan flat di Jalan Perkeliling yang tidak jauh dengan Bulatan Jalan Pahang. Kedua-dua flat terawal ini, Razak Mansion dan flat Jalan Perkeliling telah dirobohkan untuk projek pembangunan yang lain.

Saya dan tiga rakan wartawan pernah menyewa satu unit flat di Taman Cheras, Kuala Lumpur tahun 1984. Ketika itu gaji saya dan kawan-kawan lain sekitar RM350 sebulan. Sewa flat ialah RM200 sebulan pada relatifnya mahal ketika itu. Kalau tidak berkongsi dengan rakan-rakan, sewa flat lebih dari separuh gaji.

Enam tahun sebelum itu saya menghuni rumah setinggan di Kampung Kerinchi. Tapak rumah setinggan yang saya tumpangi dulu itu kini menjadi Bangsar South yang moden dan mewah. Rasanya tidak ada pemilik rumah setinggan dulu menetap di Bangsar South.

Bagaimanapun persoalan yang dibangkitkan mengenai flat bukanlah keadaan fizikalnya sebagai perumahan untuk golongan kelas sosial rendah. Sebahagian besarnya golongan B40 dan mereka yang di bawah garis kemiskinan – bukan sahaja miskin bandar akan tetapi kemiskinan yang sebenarnya.

Penulisan ini menjurus pada persekitaran kelas sosial yang rendah banyak mempengaruhi sikap sebahagian dalam kalangan warga kediaman murah ini. Sikap yang ditunjukkan agak signifikan dengan garis sosial penghuni flat – individualistik dan rendah sivik.

Hal ini sebenarnya memberikan tekanan kepada mereka yang belum bersedia berada dalam persekiaran sosial sedemikian. Masing-masing bergelut untuk meneruskan hidup yang sangat mencabar terutama golongan kelas sosial yang bawah. Tidak ada banyak masa untuk membina sosialisasi dalam hidup bermasyarakat.

Sebenarnya saya adalah antara orang yang tidak mudah percaya bahawa kelas sosial mempengaruhi sikap dalam kalangan anggota masyarakat. Tidak mudah menganggap golongan yang menghuni flat kos rendah di Kuala Lumpur senama dengan kerendahan sivik.

Bagaimanapun daripada pengalaman peribadi yang dilalui membuktikan akan hubungan antara kelas sosial dan sikap. Misalnya sikap sesetengah golongan kelas rendah ini tidak sama dengan kelas pertengahan atau elit.

Golongan kelas rendah lebih terbuka pada pelakuan-pelakuan yang kurang sivik, kurang bertamadun dan sangat individualistik. Hal ini tidak banyak berlaku di kawasan petempatan golongan kelas menengah atau elit. Hal ini sebenarnya memberi kesan yang lebih besar pada generasi muda yang membesar dalam persekitaran berkenaan.

Hal yang demikian memberikan sudut tanggapan yang tidak baik kepada golongan dalam kelas sosial yang rendah. Malah dengan pantas dikatakan kelas sosial sebagai tanda aras sivik. Memang diakui tidak semua seperti yang dikatakan di atas, akan tetapi hal ini menjadi satu identiti.

Antara pengalaman peribadi tentang sikap rendah sivik dan tingginya individualistik adalah apabila melihat tempat letak kereta di sekeliling flat ditandai dengan baldi, batu-bata, kerusi patah dan sebagainya. Ini sebagai tanda lot letak kereta berkenaan sudah dipunyai. Ini berlaku pada lot parking bertentang dengan unit rumah tingkat bawah.

Seolah-olah penghuni di tingkat paling bawah mendapat lot letak kereta di depan rumah. Banyak cantik. Memang cantiklah, keluar rumah sampai ke kereta. Tidak seperti penghuni lain yang terpaksa ‘merayau’ untuk mencari lot yang kosong.

Saya pernah bertanya seorang dua tiga penghuni di flat berkenaan mengenai perkara tersebut. Mereka agak keberatan kerana bimbang mencetuskan ketegangan dalam kalangan penghuni. Mereka terpaksa menganggap itu sudah menjadi perkara biasa.

Menegur akan perbuatan itu dan mengalih baldi atau kerusi buruk itu untuk meletak kereta adalah bom jangka. Pasti meletuskan sesuatu yang tidak diingini. Mungkin akan berlaku perbalahan dan pergaduhan. Dalam persekitaran sosial seperti itu, sivik dan rukun hidup terbang entah di mana.

Maka jangan tersalah meletak kereta dalam kawasan flat, kalau bernasib baik hanya tayar sahaja yang kempis. Kalau tidak kereta menjadi calar-balar. Keadaan yang sedemikian menjadikan orang di luar lingkaran sosial ini fobia hendak memasuki kawasan berkenaan.

Sebenarnya ini adalah masalah yang di semua kawasan yang dihuni oleh kelompok kelas rendah dan marginal. Di banyak kawasan marginal di bandar raya dunia berdepan dengan krisis sosial seperti ini. Akan tetapi kita tidak boleh lepas tangan, sebaliknya berusaha membetulkan penyimpangan sosial yang berlaku.

Tulisan ini tidak bertujuan memberikan imej yang tidak baik kepada penghuni flat kos rendah di Kuala Lumpur. Banyak juga yang mempunyai kesedaran sivik dan bertamadun dalam kehiduan sosial yang sedemikian. Kita juga faham akan tekanan mereka berdepan dengan keadaan yang menyeksakan itu.

Saya sebenarnya selalu mempertahankan bahawa kelas sosial tidak ada kena-mengena dengan sikap ahli-ahli masyarakat – sama ada buruk atau baik. Akan tetapi yang terzahir itu berpunca daripada diri individu itu sendiri.

Saya membantah apabila ada pihak cuba melabelkan sikap tidak bertamadun selari dengan kelas sosial yang melingkari seseorang individu. Walaupun begitu daripada pengalaman yang dilalui, saya terpaksa bersetuju bahawa wujud hubungan akrab antara kelas sosial dan sikap kelompok masyarakat.

Maka kita masing-masing perlu berubah pada yang lebih baik. Biarlah ada tanggapan kelas rendah senama dengan sikap rendah dan buruk. Hal ini boleh berubah kalau kita memulakan dengan penuh kesedaran. Biarlah yang rendah itu hanya kelas sosial kita, akan tetapi mendokong nilai hidup yang tinggi.

Jangan berasa malu menjadi penghuni flat, akan tetapi malulah untuk melakukan sesuatu yang menunjukkan kerendahan susila dalam hidup bermasyarakat. Tunjuklah keperibadian yang tinggi dalam apa keadaan sekalipun. – WILAYAHKU – KU SEMAN KU HUSSAIN

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas