Artikel

Elemen kemanusiaan dalam senibina

RUANG tamu rumah flat 700 kaki persegi.
- Diterbit 13 Jun 2020 12:30 PM MYT

APABILA arkitek mula merekabentuk sesuatu ruang, pelbagai faktor perlu diambil perhatian.
Ini termasuklah kos yang terlibat, kehendak pelanggan serta faktor alam sekitar.

Namun, faktor kemanusiaan serta pengguna akhir semakin hari semakin kurang ditekankan akibat permintaan pelanggan yang membayar kos pembinaan yang harus dipatuhi.

Faktor yuran professional juga menjadi antara asbab rekabentuk sesuatu bangunan kurang nilai tambah dek lantaran hanya memenuhi permintaan minima pelanggan yang memerlukan rekabentuk yang cepat dan harus segera dijual demi mengaut keuntungan.

Kini seluruh dunia diuji dengan pandemik COVID-19. Rumah yang dahulunya hanya digunakan untuk tidur dan beristirehat, kini harus digunakan untuk pelbagai keperluan, belajar, bekerja, berehat, makan dan bermain bagi anak-anak kecil.

Rutin harian sudah berubah. Ruang yang kecil dan terhad harus dikongsi bersama anak, ibu, ayah serta adik-beradik yang lain. Kini ruang tamu harus bertukar menjadi ruang belajar, menonton tv, ruang tidur bagi si abang yang tidak mempunyai bilik dan ruang siibu menggosok serta menerima upah menjahit pakaian.

Menurut kajian dari WHO, kes penderaan domestik turut meningkat dikala wabak ini berlangsung ekoran persekitaran rumah yang tidak kondusif serta sempit.

Ini ditambah lagi dengan musim PKPB yang tidak membenarkan kanak-kanak bersekolah dan bermain di kawasan lapang. Suasana di rumah manjadi hiruk-pikuk kerana keluasan rumah sedia ada hanya berkeluasan kurang dari 700 kaki persegi.

Kanak-kanak ini sudah terbiasa dengan bermain dan berkejaran, tetapi si bapa perlukan ruang bagi memikirkan bagaimana mahu bertahan selama tidak bekerja di dalam tempoh PKPB ini.

Akibatnya, anak-anak ini dipukul dan didera. Ini adalah satu contoh akibat dari keresahan yang terbit akibat ruang yang kurang kondusif.

Jadi apakah solusi yang perlu dicari bagi mereka bentuk ruang yang lebih kondusif?

Pastinya jawapannya perlu dipertanggungjawabkan kepada pelbagai pihak. Pihak yang terlibat merangkumi pihak berwajib yang merangka polisi, pihak pemaju yang membiayai rumah tersebut dan pihak arkitek yang bertanggungjawab merekabentuk kediaman tersebut.

Mungkin sudah sampai masanya untuk perumahan rumah murah di negara ini di naiktaraf sebagai perumahan sosial.

Dengan ini, ia akan memberi imej baru kepada perumahan awam serta perumahan kos rendah yang rata-ratanya mencerminkan perumahan “slum’ di lokasi yang kurang strategik.

Senibina yang bagus dapat meningkatkan taraf hidup serta corak pemikiran penduduknya.

Buruk rekabentuknya, buruklah sikap masyarakat yang menduduki perumahan kawasan tersebut.

Sekiranya perumahan serta rekabentuk yang disediakan memenuhi serta memhami keperluan pembentukan manusiawi, ia akan menjadikan penduduknya lebih kreatif dan dapat menghormati satu sama lain.

Arkitek mereka harus lebih kreatif dan berinovasi bagi merekabentuk ruang yang lebih dinamik serta mesra pengguna tanpa menggunakan kos yang tinggi. Arkitek juga harus menasihati pelanggan serta pemegang taruh dan bukan hanya menurut kehendak mereka.

Pelbagai kajian kes boleh di lihat di negara maju bagaimana mereka merekabentuk rumah perumahan sosial yang lebih teratur serta kondusif seperti projek perumahan HDB di Singapura, Nanterre Co-Housing di Perancis dan juga Atelier Kempe Thill Housing di Belanda. Projek-projek ini berjaya mendidik penghuninya mematuhi peraturan serta menjadikan mereka dapat mendiami kehidupan yang lebih kondusif bersama keluarga dan masyarakat.

Saya teringat bibit lagu dari Aman RA yang berbunyi “Blok aku panas bukan cerita gebang.. Sarang segala barang hanya hati kering tenang.. Datang gudang tak diundang..Bayang sepanjang badan ey.. Datang cara elok jangan wayang jangan.. Zon merah malaria…Lampu biru Black Maria…Memori nostalgia mama sakit histeria..Flow lain macam keep it low lain macam..If you know lain macam then you know. Lirik ini jelas menggambarkan kehidupan di flat yang serba dhaif serta manjadi sarang jenayah serta penyakit.

Pensyarah Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM Serdang
TS Dr Mohd Zairul Mohd Noor

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas