Berita

Penyerang JDT, Syafiq Ahmad Kemalangan, Bayi Usia 22 Hari Maut

|
- Diterbit 6 Disember 2020 4:01 AM MYT

PENYERANG muda JDT, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang, pagi tadi. 

Dalam kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vellfire berwarna hitam itu, turut maut ialah wanita warga tempatan Zainab Wahab, 45, dan warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an.

Dalam kejadian itu, Muhammad Syafiq dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2, turut cedera ringan namun isteri beliau, Nur Amalina  Nur Ain, 25, dilaporkan cedera parah.

KEADAAN kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire yang remuk teruk selepas terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, Pulau Pinang awal pagi tadi. – Foto : Utusan Online

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.36 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.

Sebaik sahaja tiba, katanya, sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire berwarna hitam didapati remuk teruk selepas dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap itu ditamatkan kira-kira pukul 6.12 pagi.

Sumber & Foto: UTUSAN ONLINE & media sosial

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas