Berita

“Pendakwah Juga Manusia Biasa” – JOHAN AS’ARI

|JOHAN jugak sering berdakwah di media sosial
- Diterbit 6 Disember 2020 1:27 AM MYT

SEJAK akhir-akhir ini, terlalu banyak kontroversi yang mengaitkan golongan pendakwah selebriti terutamanya mereka yang muncul daripada program berkonsepkan dakwah.

Tidak dinafikan, kontroversi yang menjadi buah mulut masyarakat ini sedikit sebanyak memberi tanggapan negatif buat golongan tersebut.

Paling ketara, rataratanya dituduh menggunakan agama untuk kepentingan diri atau nama lain penunggang agama.

MENGULAS tentang hal tersebut, pelakon yang sinonim dengan program dakwah dan gemar berdakwah di media sosial, Johan As’ari, 33, menganggap ia adalah dugaan yang mana pendakwah selebriti juga tidak terlepas daripada kesilapan.

“Bagi saya, semua pendakwah mempunyai peranan yang sama iaitu mendidik masyarakat tentang agama. Cuma bezanya pendakwah selebriti ini lebih dikenali kerana mereka sering muncul dalam program televisyen, diberikan liputan yang meluas oleh pihak media dan menjadi perhatian dalam media sosial.

“Inilah sebenarnya kelebihan yang ada pada mereka berbanding pendakwah lain. Populariti yang dikecapi

memudahkan mereka untuk menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan kerana menjadi ikutan ramai,” ujar Johan.

Namun menurutnya lagi, mungkin ramai yang terlupa mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada salah dan silap.

“Dalam dunia yang semakin berleluasa fitnah ini, masyarakat tidak boleh cepat menghukum. Bila dah jadi  orang popular, sekecil-kecil kesalahan pun akan dicanang menjadi bualan,” kata Johan ketika dihubungi Wilayahku.

JOHAN jugak sering berdakwah di media sosial

Berkongsi pandangan tentang isu rogol yang terpalit pada salah seorang pendakwah selebriti barubaru ini,  menurut Johan, biarlah pihak berwajib melakukan tugas mereka.

“Kita tidak tahu hujung pangkal yang berlaku, jadi hentikanlah perbuatan menuduh yang bukan-bukan kerana ia boleh mengeruhkan lagi keadaan. Lebih baik doakan agar segala urusan dipermudahkan.

“Ini ujian berat buat dirinya. Jika saya berada di tempatnya, belum tentu saya boleh laluinya. Perlu ada kekuatan mental untuk hadap situasi yang sangat mencabar ini,” ujar Johan yang bakal muncul dalam filem Penunggang Agama bersama Zul Ariffin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas