Berita

Mahadhir cari peluang dampingi rakyat

TURUN padang mendekati rakyat menjadi aktiviti wajib bagi Mahadhir.
- Diterbit 6 Disember 2020 12:30 PM MYT

MENGAMBIL tanggungjawab untuk mengemudi bahtera perjuangan tatkala kehilangan kuasa politik di peringkat persekutuan menjadikan figura ini tidak mengalah kepada keadaan, bahkan menjadikan situasi tersebut sebagai peluang kepadanya untuk memperbaiki organisasi yang memayunginya.

Ketua UMNO Bahagian Segambut, Mahadhir Sulaiman berkata, kehilangan kuasa memerintah itu merupakan satu ‘nikmat’ yang harus disyukuri dan setiap ahli perlu melihatnya sebagai pengajaran.

“Ketika UMNO berkuasa, tidak dinafikan begitu banyak bantuan yang telah dihulurkan sejak dari merdeka sehingga tahun 2018.

“Namun kita juga tidak harus lupa bahawa ketika sibuk dengan kuasa, ada dalam kalangan pemimpin dari pelbagai peringkat yang alpa sehingga menyebabkan UMNO kehilangan kuasa pada tahun 2018 yang lalu,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Lebih memeritkan lagi, beliau mengambil alih kepimpinanan bahagian dalam keadaan serba kekurangan dan perlu memulakan semula pentadbiran parti.

“Kekalahan ini sebenarnya telah mengajar kita untuk mengenal mana-mana pemimpin yang betul-betul mahu berkhidmat kepada rakyat atau pemimpin yang hanya menggunakan rakyat untuk memperolehi keuntungan
peribadi.

“Melalui pengalaman sejak mengambil alih kepimpinan, saya bertanggungjawab untuk membina semula parti sedikit demi sedikit dalam keadaan kehilangan kuasa memerintah dan merupakan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan,” katanya.

TURUN PADANG

Beliau yang juga merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO di bahagian yang sama menjadikan turun padang sebagai aktiviti yang wajib dilaksanakan bagi melihat dengan lebih dekat kehidupan rakyat.

“Saya akan mencari di mana rakyat berada dan berkumpul. Ini termasuklah bangun seawal pagi dan bersama-sama dengan mereka menunaikan solat di masjid.

“Ia merupakan peluang terbaik untuk mendampingi rakyat dan dari situ saya akan dapat mengetahui masalah yang dihadapi dan berusaha bagi membantu menyelesaikannya,” katanya.

Menurut Mahadhir, walaupun kawasan Parlimen Segambut di dominasi lebih 60 peratus kaum Cina, namun  keberadaan UMNO perlu dipandang positif kerana rekod yang dipegang dalam membantu masyarakat merupakan keutamaan parti itu.

“Falsafah yang diperjuangkan oleh UMNO dengan tekad yang kukuh untuk memperjuangkan nasib orang-orang
Melayu tidak kira di mana mereka berada dan dalam masa sama, kami juga tidak akan meninggalkan kaum-kaum lain yang memerlukan bantuan.

“Saya mahu UMNO dikenali bukan sahaja memberikan khidmat, bahkan dikenali sebagai sebuah institusi yang
menawarkan khidmat dan ia mestilah bermanfaat kepada rakyat,” katanya.

Tegasnya, pembabitan UMNO di kawasan ini pastinya bukan soal kemenangan pilihanraya kerana sedia maklum bahawa Segambut merupakan kubu kuat pembangkang, sebaliknya ia adalah prinsip untuk memenuhi keperluan sosial masyarakat dan memberikan manfaat kepada orang ramai.

“Sebagai contoh, saya mendapati ada sebidang tanah milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di dalam kawasan Kampung Sungai Penchala yang boleh dibangunkan sebagai kawasan lapang dan dimanfaatkan sebagai kawasan untuk peniaga kecil berniaga.

“Saya telahpun berhubung dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengenai cadangan tersebut dan insya-Allah, ia akan dapat direalisasikan,” katanya.

MPP SEBAGAI JAMBATAN

Kata Mahadhir, sebagai penasihat kepada tiga Zon Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Segambut, beliau sering mengingatkan MPP untuk mengutamakan rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun dan bukan lagi menjaga kepentingan politik seperti lazimnya.

“MPP adalah jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat dan ia merupakan prinsip yang mesti diutamakan setiap Ahli Jawatankuasa (AJK) MPP.

“Oleh yang demikian, saya mewajibkan setiap pemimpin akar umbi yang dilantik sebagai AJK MPP mestilah pemastautin di kawasan Segambut kerana ia dapat memudahkan urusan rakyat,” ujarnya.

Beliau yang merupakan bekas Pegawai Khas kepada mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan bahawa fokusnya kini adalah untuk memperbaiki taraf kehidupan masyarakat di Segambut.

DEMI SEGAMBUT

“Meskipun telah kembali sebagai kerajaan, tanggungjawab semakin bertambah kerana masyarakat di sini perlukan pembelaan dalam pelbagai perkara termasuklah soal pajakan tanah di beberapa kampung tradisi orang Melayu di Segambut.

“Melalui hubungan baik yang telah lama terjalin dengan agensiagensi kerajaan terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) dan MAIWP, ia memudahkan urusan dalam memenuhi permintaan rakyat.

“Kami juga berusaha memperkenalkan inisiatif Wilayah Cakna untuk dimanfaatkan masyarakat seperti yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya telah membelanjakan hampir RM100 ribu bagi membantu penduduk yang terjejas ekoran penularan wabak COVID-19.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas