Artikel

Pentingnya komunikasi bertamadun

KISAH Rasulullah SAW hendaklah dijadikan tauladan oleh generasi baharu dan lama. -Gambar hiasan.
- Diterbit 6 Disember 2019 11:03 AM MYT

Dalam proses mendidik generasi Muslim yang beretika dan bermoral tinggi dalam kehidupan harian pada hari ini, maka contoh dari Al-Quran dan sejarah Nabi Muhammad SAW dapat dijadikan tauladan.

Pendedahan internet dan media sosial umpamanya dapat dimanfaatkan dengan mempelajari sejarah kehidupan dan perilaku Nabi Muhammad SAW. Tingkah laku baginda seharusnya difahami dengan baik dan dijadikan tauladan oleh generasi baru dan lama.

Hal inilah telah disebutkan di dalam rencana saya pada minggu lalu, bahawa para penceramah agama dan kuliah di surau atau masjid, juga khutbah dan seminar Islam seharusnya membawakan tajuk-tajuk ini dalam pelajaran. Ia merupakan integrasi dengan kehidupan moden pada hari ini.

Ketika mempelajari sejarah kehidupan Nabi Muhamad SAW umpamanya, ternyata baginda tidak bercakap sebarangan.

Apa-apa yang dibicarakannya sentiasa terus kepada tajuk tanpa bercakap kosong dan melulu. Segala butiran yang diperkatakannya amat fokus, padat dan tepat, ringkas dan sempurna.

Kemahiran baginda berbicara amat jelas, tanpa sebarang bahan penambahan yang sia-sia atau samar-samar bagi kebanyakan orang yang mendengarnya.

Fakta yang disimpulkan dari buku-buku sejarah lama bagi kehidupan baginda Rasulullah dan hasil kajian terbaharu mengenai tema ini haruslah diambil inti patinya yang amat berharga untuk mencorakkan pemikiran dan pengolahan baru dalam masyarakat masa kini yang kelihatannya amat kacau bilau dan mengelirukan akibat dari percakapan serta hujah manusia moden yang jauh dari etika dan adab.

Contoh baginda inilah yang seharusnya dijadikan cermin dan bentuk percakapan yang beretika dan mengikut sistem pemusatan pemikiran yang tepat termasuk bentuk penulisan dan karya persuratan oleh para pemikir.

Ketika baginda berbicara dan memberikan penekanan tentang sesuatu pokok percakapan maka baginda sering mengulanginya sebanyak tiga kali tanpa pergerakan badan yang luar biasa.

Baginda mempunyai kawalan yang amat kuat tentang perasaan dalamannya. Ketika tersinggung, baginda akan mengelak diri dari puncanya atau terus berdiam diri.

Namun, sekiranya terdapat orang yang melakukan sesuatu perbuatan yang bercanggah dengan perintah Allah, baginda menunjukkan rasa marah dan pendirian yang tegas sehinggakan kemarahannya dapat disedari orang sekeliling.

Ketika inilah semua orang akan merasai penentangannya yang nyata terhadap kebenaran Allah SWT. Baginda tidak pernah melahirkan kemarahannya sendiri atau menggunakan pengucapan dan terjemahan rasa marahnya di dalam kata-kata yang kasar dan tidak beradab.

Hal ini amatlah penting di dalam pergaulan sosial kini, ketika media rasmi atau media sosial, pengucapan ceramah dan seminar, sering dipenuhi dengan kata-kata dan luahan rasa marah dan benci yang tidak terkawal malah ketika perbuatan menaburkan fitnah palsu atau rekaan yang didorong oleh taksub partisan, kebencian, cemburu dengan kejayaan orang lain, malah ketika mencari keuntungan kebendaan dan rasa cemburu serta kepelbagaian tata laku yang tidak bersopan dan tidak bermoral.

Isi kisah Rasulullah

Alangkah baiknya, jika pemidato, penceramah, pembentang kertas malah pengisian kuliah serta khutbah Jumaat dan risalah agama dapat membawakan fakta-fakta sejarah Nabi Muhammad SAW dan membentangkan kepentingan sejarah kehidupan baginda untuk dijadikan tauladan. Ketika terdapat ramai warga kita yang masih terkeliru termasuk umat Muslim sendiri yang tidak menyedari tentang kepentingan akhlak dan nilai moral yang baik di dalam masyarakatnya ketika berhujah.

Inilah aspek penekanan dalam zaman tekologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang begitu cepat berkembang di dalam dunia hari ini sehingga mengorbankan pemikiran dan ruh yang seharusnya bersih dan murni, termasuk dalam kalangan masyarakat Islam sendiri, yang mungkin hanya berpegang kepada fardhu ain dan melupakan hikmah fardhu kifayah dan nilai-nilai peradaban serta tamadun manusia yang ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah yang kita perlu kaji dan mengambil segalah butiran mutiara kebijaksana­annya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas