Artikel

Sokong pelancongan ‘mesra muslim’

MELANCONG dan melihat budaya masyarakat negara luar sangat digalakkan. - Gambar hiasan.
- Diterbit 6 Disember 2019 10:54 AM MYT

AKTIVITI pelancongan sebagai ibadah melancong atau mengembara merupakan aktiviti sihat yang digalakkan oleh Islam. Bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain sambil menikmati keindahan alam merupakan sebahagian daripada ibadah kerana mampu meningkatkan keimanan seseorang.

Malah umat Islam juga diwajibkan ke Tanah Haram sebagai satu pengembaraan agama yang sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi menunaikan ibadah haji.

Selain dapat mengecapi pelbagai pengalaman baru, seseorang muslim layak mendapat beberapa kelebihan dan keringanan apabila mengembara atau bermusafir.

Mereka juga dibenarkan untuk melakukan solat jamak dan qasar serta berbuka dan menggantikan puasanya pada hari lain.

Musafir juga dijanjikan keberkatan yang mana keluhan mereka sentiasa didengar oleh Allah. Dari Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada ke­raguan padanya iaitu doa orang yang dizalimi, doa musafir dan doa orang tua untuk anaknya.” (HR Tirmizi).

Secara amnya, bermusafir dan melancong merupakan ibadah. Namun begitu, ia perlulah disertakan dengan niat dan tujuan yang baik serta menjauhi perkara yang dilarang oleh agama.

Pelancong

Muslim harus sedar bahawa mereka adalah insan yang terpilih dan diberi kelebihan, berbanding mereka yang tinggal kekal di tempat masing-masing.

Melihat kepada bilangan pengunjung Muslim yang semakin ramai, pengusaha premis penginapan di dalam dan luar negara mula memperkenalkan konsep penginapan “Mesra Muslim” yang mana penginapan yang ditawarkan mempunyai ciri-ciri Islamik.

Beberapa pembaharuan telah diperkenalkan seperti menyediakan makanan halal, menyediakan kelengkapan solat dalam bilik, menyediakan tanda arah kiblat, ruang yang selesa untuk solat, al-Quran di setiap bilik, kemudahan surau dan sebagainya.

Malah ada juga hotel yang menyediakan kolam renang khusus untuk pelanggan berlainan jantina serta menyediakan surau berserta imam yang tetap bagi memudahkan para pengunjung melaksanakan kewajipan mereka.

Selain itu, kebersihan dan kesucian juga menjadi salah satu aspek yang diberi perhatian apabila bilik dan fasiliti hotel akan dipastikan bebas daripada najis.

Malah sabun dan detergen yang digunakan juga perlu terjamin kesuciannya. Ini penting agar ibadah pengunjung terjamin.

Pengguna muslim perlu bijak

Hotel “mesra muslim” yang bercambah memberi kelebihan kepada pengguna, khususnya mereka yang beragama Islam.

Mereka tidak perlu khuatir dalam soal mendapatkan makanan halal dan melaksanakan ibadah seperti solat dan puasa.

Malah sesetengah hotel menyediakan buffet ramadan dan juga pakej bersahur.

Secara amnya pengunjung muslim akan lebih mudah melaksanakan rutin mereka meskipun berjauhan daripada tempat kediaman.

Memandangkan pilihan sudah tersedia, adalah menjadi kewajipan kepada pengguna muslim mencari yang halal dan baik.

Ironinya, terdapat keluhan daripada para pengusaha hotel yang menyatakan sambutan yang kurang memberangsangkan kerana seolah-olah pengguna muslim sendiri tidak menitikberatkan aspek-aspek tersebut.

Malang sekiranya kelebihan mereka sebagai musafir yang sepatutnya diberkati dan sentiasa di bawah lindungan rahmat tetapi akhirnya disia-siakan sebagaimana sabda baginda Rasulullah SAW ketika menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!

Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram? (HR Ahmad).

Kesedaran pengguna muslim perlu dipertingkatkan

Perkembangan terkini me­nyaksikan banyak negara menggiatkan usaha promosi pelancongan “mesra muslim” di negara mereka.

Ironinya, Malaysia dilihat kurang aktif dalam hal ini meskipun Malaysia merupakan antara negara terawal memperkenalkan konsep pelancongan ini.

Malah Malaysia turut mempunyai Pusat Pelancongan Islam yang ditubuhkan pada 2009, sebuah agensi khusus yang membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melihat polisi berkaitan hal ini.

Justeru, kerajaan perlu mempergiatkan lagi promosi pelancongan “mesra muslim” untuk memberi kesedaran yang lebih tinggi kepada para pelancong muslim.

Lebih banyak iklan dan program kesedaran perlu dibuat berkenaan segmen pelancongan ini.

Selain itu, pengiktirafan juga perlu diberikan kepada pengusaha dalam bentuk sijil, akreditasi atau anugerah pencapaian bagi menggalakkan usaha murni mereka dan seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Muslim yang baik adalah mereka yang mencari yang halal termasuk dalam urusan pelancongan.

Sewaktu bermusafir, mungkin pengetahuan seseorang berkenaan sesuatu tempat masih kurang dan mudah terkeliru.

Justeru dengan adanya penginapan “mesra muslim”, ianya merupakan khidmat bantuan yang amat baik dan perlu disokong.

Adalah amat malang sekiranya kaum muslimin sendiri mengambil sikap lewa, malah lebih malang lagi hasilnya apabila nanti para peniaga tidak lagi berminat untuk memberikan khidmat tersebut.

Pihak industri pula perlu lebih kreatif mendekati masyarakat melalui pelbagai inisiatif agar masyarakat lebih memahami khidmat yang ditawarkan kepada mereka serta lebih ramai pengunjung dapat mencuba dan merasai sendiri kemudahan tersebut.

Pelancongan “mesra muslim” tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang terlalu eksklusif sehingga sukar difahami oleh masyarakat umum.

Ia juga tidak harus difahami sebagai hanya menyantuni kaum muslimin tetapi jaminan kepada kualiti layanan tetamu yang menjadi teras kepada hospitaliti Islam itu sendiri.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di [email protected]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas