Antarabangsakan tradisi Malaysia

Antarabangsakan tradisi Malaysia

SAMPAI bila rakyat Malaysia akan memohon maaf selepas melakukan kesalahan? Adakah begitu murah ungkapan maaf itu?

Isu kali ini bukan hanya menyentuh artis Malaysia yang sewenang-wenangnya memohon maaf selepas melakukan perbuatan tidak beradab di khalayak ramai atau tiba-tiba membuka tudung selepas kononnya mengaku berhijrah, tetapi turut mengaitkan penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019, Blackout Trading yang memohon maaf berhubung insiden peragaan tatu separuh bogel di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apa yang ingin dipersoalkan adalah, kenapa golongan terbabit tidak berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara atau menganjur program yang bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia. Sedangkan semua sedia maklum bahawa agama rasmi adalah Islam dan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan serta hak keistimewaan orang Melayu tidak boleh dipertikaikan.

Berbalik kepada penganjuran ekspo tatu itu, ia tidak sepatutnya dilakukan di negara yang agama rasminya adalah Islam walaupun dengan tujuan mahu mempromosikan industri pelancongan.

Untuk pengetahuan, pelbagai program boleh dianjurkan untuk menaikkan sektor pelancongan di sini selain lokasi menarik.

Lihat sahaja Korea, mereka menggunakan produk makanan tempatan yang tradisional serta mengetengahkan tradisi generasi dahulu seperti pakaian, Hanbok dan sistem beraja menerusi drama sehingga mampu menjadi salah satu tarikan pelancongan.

Malah, boleh dikatakan rakyat Malaysia bercita-cita melancong ke sana bagi merasai makanan dan mencuba pakaian tradisional Korea selepas menonton dramanya.

Penganjur atau mana-mana pihak yang bercita-cita mahu mempromosi dan meningkatkan industri pelancongan sepatutnya mencontohi Korea yang mengangkat budaya serta tradisi tersendiri ke pentas antarabangsa.

Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan etnik. Ketengahkan tradisi lama ini kerana mempunyai konsep tersendiri sama ada dari segi busana seperti songket dan tanjak bagi Melayu, cheongsam dan sam foo yang dipakai masyarakat Cina atau sari India selain baju-baju tradisional etnik lain.

Anjurlah program-program kesenian yang unik seperti seni Bangsawan supaya masyarakat Malaysia mengetahui terdapat juga perbezaan taraf pada zaman dahulu yang kini telah disama ratakan demi perpaduan kaum.

Janganlah mengangkat program atau budaya yang membelakangi norma kehidupan masyarakat setempat demi mahu dilihat antarabangsa sedangkan kita boleh ‘mengantarabangsakan’ tradisi tersendiri.

CATEGORIES