Berita

Penjaja, peniaga kecil dikecuali bayar sewa premis 3 bulan

MEDAN Selera Laman Perdana menyajikan pelbagai aneka hidangan yang lazat.
- Diterbit 25 Mac 2020 10:40 AM MYT

PUTRAJAYA – Menyedari penjaja dan peniaga kecil berperanan besar menjadi nadi kepada ibu kota, Kementerian Wilayah Persekutuan mengambil perhatian terhadap nasib golongan tersebut yang terjejas ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, memandangkan golongan penjaja tersebut tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh perintah tersebut, kerajaan bersetuju memberikan mereka pengecualian sewa premis selama tiga bulan.

Beliau berkata, seramai 6,000 penjaja yang menyewa premis perniagaan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mereka diberikan pelepasan sewa bulan Mac, April dan Mei ini.

Sementara itu katanya, pengecualian sewa selama dua bulan pula diberikan kepada penyewa premis Perbadanan Putrajaya (PPj) iaitu medan selera, pasar awam dan trak makanan serta program penjualan barangan keperlua harian di semua premis PPj.

Dalam program bantuan di bawah Inisiatif Wilayah Cakna yang diumumkan hari ini, Annuar turut membawakan berita gembira buat 17,617 penjaja bazaria, trak makanan, pasar malam, gerai tepi jalan, penjaja beredar, pemit sementara, waktu terhad dan pasar tani bakal menerima bayaran tunai RM500.

Katanya, bantuan tersebut menelan kos hampir RM5 juta kepada DBKL.

Sumbangan one-off RM500 tersebut turut dinikmati penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya dan Labuan dengan keseluruhan peruntukan hampir RM12 juta.

“Orang kata berat sama dipukul, ringan sama dijinjing,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri WP berkata, tambahan sebanyak 6,000 peniaga lagi turut akan dibantu melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Kalau mereka tercicir atau masuk dalam kategori lain, boleh memohon kepada DBKL, PPj dan Perbadanan Labuan (PL), kita akan salurkan untuk skim tambahan 6,000 orang yang dibiayai oleh MAIWP,” katanya sambil menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menubuhkan jawatankuasa penyelarasan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas