Berita

Lanjutan PKP: MCCF gesa orang ramai akur perintah kerajaan

KURANGKAN pergerakan luar rumah. - Gambar hiasan
- Diterbit 25 Mac 2020 10:09 AM MYT

KUALA LUMPUR – Susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menggesa orang awam mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan.

MCCF
HALIM

Ini kerana, kata Pengerusinya, Halim Ishak, rakyat perlu akur dan bertabah dengan lanjutan PKP untuk tempoh kira-kira tiga minggu lagi sekali gus membolehkan rantaian wabak Covid-19 dihentikan.

“Apa yang di umumkan Perdana Menteri tadi memanglah sesuatu yang agak menyedihkan khususnya kepada masyarakat golongan berpendapatan rendah (B40) dan Industri Kecil Sederhana (IKS). Mereka begitu terkesan dengan lanjutan ini.

“Sehubungan itu, MCCF menyarankan agar semua masyarakat Malaysia bersama-sama bersatu hati untuk tidak keluar rumah dan mengikut pesanan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) agar penularan wabak Covid-19 dapat dihapuskan sebelum menjelangnya bulan Ramadhan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku hari ini.

Dalam pada itu, Halim turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas yang bertungkus lumus bekerja untuk menyelamatkan mangsa Covid-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Terdahulu, dalam perutusan khas hari ini, Muhyiddin mengumumkan lanjutan tempoh PKP iaitu sehingga 14 April ini yang bertujuan memutuskan rantai wabak Covid-19 di negara ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas